FOWLER melakukan pukulan di lubang ke-18.  - FOTO AFP
FOWLER melakukan pukulan di lubang ke-18. - FOTO AFP
AFP

LOS ANGELES: Rickie Fowler melakukan lapan birdie bagi mencatat tujuh di bawah par 64 sekali gus mengukuhkan kedudukannya selaku pendahulu golf Terbuka Phoenix dengan kelebihan empat pukulan selepas tamat pusingan ketiga, awal pagi tadi.

Fowler yang memburu gelaran kelima Jelajah PGA dan pertama sejak menjuarai Honda Classic pada 2017, mencatat keseluruhan 20 di bawah par 193 di TPC Scottsdale – tempat dia mendahului selepas 54 lubang tahun lalu tetapi sekadar menamatkan saingan dengan berkongsi kedudukan ke-11.

“Saya sudah mendahului tiga pusingan, kini kenapa tidak untuk menjadikannya sehingga pusingan empat,” kata Fowler yang hanya sekali muncul juara sepanjang enam kali mendahului selepas 54 lubang.

Dia di depan dengan kelebihan empat pukulan ke atas pemain veteran Amerika Syarikat, Matt Kuchar yang melakukan enam birdie untuk merakam enam di bawah par 65 keseluruhan 197.

Kuchar, 40, kini memburu gelaran ketiga musim ini selepas mendominasi saingan Mayakoba Classic dan Terbuka Sony.

“Saya bermain dengan baik. Saya teruja bagi menghadapi pusingan akhir esok,” kata Kuchar.

Sementara itu, Justin Thomas yang memulakan hari ketiga dengan ketinggalan hanya satu pukulan di belakang Fowler melakukan empat birdie di sembilan lubang akhir dengan 68 pukulan yang menyaksikan dia di tempat ketiga dengan 198.

Dia berkelebihan dua pukulan di depan pemain Korea Selatan, An Byeong Hun (66) dan pemain Afrika Selatan, Branden Grace (69).

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 1:05 PM