AKSI antara Melaka (jersi merah) dan Southern. FOTO/MELAKA UNITED
AKSI antara Melaka (jersi merah) dan Southern. FOTO/MELAKA UNITED
Nazri Abu Bakar

PASUKAN Melaka United (MU) berpesta gol membelasah Southern FC, 7-0 di Stadium Hang Jebat, dekat sini, sebentar tadi, untuk meneruskan kemaraan pada aksi Piala FA.

Dalam aksi itu, tuan rumah tidak menunggu lama untuk memulakan pesta apabila

Yahor Budovich tampil pada minit ke-12 menyudahkan sepakan penalti, sebelum disusuli jaringan kedua minit ke-23 hasil tolakan mudah R Gopinathan.

Asakan bertali arus skuad bimbingan jurulatih Eduardo Almeida menyaksikan Budovich berjaya mencetak gol ketiga pada minit ke-26 selepas menerima hantaran Gopinathan .

Gol keempat MU pula disudahkan menerusi tandukan Mohd Fauzi Roslan pada minit ke-35 buat menewaskan penjaga gol Mohd Alif Daniel Jafri.

Pelawat yang lebih banyak bertahan sepanjang babak permainan selepas MU bijak menguasai perlawanan menyaksikan kubu Southern FC roboh lagi pada minit ke-44,

Kali ini menerusi sentuhan Farderin Kadir untuk gol kelima manakala gol keenam hasil sentuhan Azmi Muslim pada minit ke-52 bagi meletakkan pasukan lawan terus lesu untuk memberi saingan.

Peluang terbaik Southern mencipta gol sagu hati hadir pada minit ke-74, namun rembatan kapten pasukan Saiful Aula Ahmad tinggi melepasi palang gol.

Southern bukan tandingan buat skuad tuan rumah walaupun MU turut merehatkan beberapa pemain utama dengan pemain gantian Nurshamil Abd Ghani menghadiahkan jaringan ketujuh pada minit ke-75 perlawanan.

Kemenangan itu jelas persiapan terbaik buat skuad Liga Super berkenaan sebelum berdepan PKNP pada 11 Mac ini di gelanggang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 12:40 AM