PEMAIN Pahang Mathias Conti (dua dari kanan) mengasak pertahanan  Pulau Pinang.
PEMAIN Pahang Mathias Conti (dua dari kanan) mengasak pertahanan Pulau Pinang.
Oleh Anis Nabilla Md Wazilah

Georgetown: Pahang melangkah ke separuh akhir Piala FA walaupun sekadar seri 2-2 ketika bertemu Pulau Pinang pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Ternyata kelebihan dua gol ketika aksi pertama di Stadium Darulaman memberi kelebihan kepada skuad Tok Gajah untuk menang 4-2 secara agregat.

Aksi malam tadi menyaksikan penyerang import Pahang, Dickson Nwakaeme dan Hilton Mauro Moreira dari Pulau Pinang menjadi tumpuan kerana masing-masing berkongsi menjaringkan dua gol.

Gol pembukaan penyandang Piala FA itu dicipta seawal minit ke-6 menerusi Nwakaeme selepas menerima umpanan pemain sayap R Gopinathan.

Tidak menunggu lama, pemain yang menyarung jersi no 10 itu sekali lagi mengejutkan tuan rumah apabila menghasilkan gol kedua pada minit ke-11.

Pulau Pinang yang terkejut dengan dua gol awal pelawat dalam tempoh lima minit cuba bangkit dengan melancarkan serangan.

Bagaimanapun usaha terbaik mereka untuk merapatkan jurang gol tidak menjadi realiti apabila sepakan kencang pemain import dari Korea, Lee Gil Hoon tersasar.

Kerja keras anak buah Jacksen Ferreira Tiago selepas rehat akhirnya berhasil apabila Moreira menjaringkan gol pertama Pulau Pinang pada minit ke-76 hasil sepakan percuma.

Pemain import Brazil itu menjaringkan gol kedua pasukannya selepas menerima hantaran Elias Sulaiman pada minit ke-87.

Ketika kedudukan terikat 2-2 Pulau Pinang tetap terus menggandakan usaha untuk keluar sebagai pemenang tetapi terpaksa akur dengan ketidakupayaan mereka sekali gus gagal mara ke separuh akhir Piala FA.

Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu dijadual berdepan Kelantan di separuh akhir pertama pada 8 atau 9 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 9:21 AM