FAIRUL tak mahu mensia-siakan penampilan kelimanya di Sukan Komanwel. FOTO/FAIL
FAIRUL tak mahu mensia-siakan penampilan kelimanya di Sukan Komanwel. FOTO/FAIL
Azlan Muhammad Zain

ATLET boling padang negara Fairul Izwan Abdul Muin enggan mensia-siakan penampilan kelimanya di Sukan Komanwel apabila bertekad mengintai kilauan emas pertamanya di temasya sukan itu kali ini.

Bermula dengan penampilan pertama pada edisi 2002 tanpa sebarang pingat, dia membaiki pencapaiannya pada 2006 dengan mara sehingga ke suku akhir.

Ia disusuli gangsa pada 2010 di New Delhi sebelum perak empat tahun lalu di Glasgow.

“Jadi kali ini saya berharap rezeki akan memihak kepada saya untuk meraih pencapaian lebih baik selepas mengharungi persiapan yang cukup rapi,” jelasnya.

Dia antara lima atlet lelaki yang terpilih ke Gold Coast selain Muhammad Hizlee Abdul Rais, Zulhilmie Redzuan, Soufi Rusli, Mohammad Syamil Syazwan Ramli dengan temasya itu akan menawarkan 10 emas secara keseluruhan.

“Tiada perasaan gugup kerana kami sering beraksi dengan pasukan yang lebih kuat termasuk Australia dan New Zealand dalam perlawanan ujian.

“Cuma bagi saya sendiri, terdapat satu atau dua perkara perlu diperbaiki bagi memastikan keputusan yang positif dicapai nanti. Antaranya adalah fokus sepanjang tempoh perlawanan berlangsung kerana ia membabitkan masa yang panjang,” katanya.

Selain pasukan lelaki, skuad negara kendalian Simon Botha turut menyenaraikan lima pemain wanita diketuai Siti Zalina Ahmad, Emma Firyana Siroji, Azlina Arshad, Nur Fidrah Noh dan Auni Fathiah Khamis.

Malaysia berharap mampu mengakhiri kemarau emas selepas kali terakhir muncul juara pada edisi 2006 menerusi acara perseorangan dan triples wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 12:35 PM