SIMON Botha (kiri), bersama kapten boling padang lelaki, Fairul Izwan Abd Muin (tengah) dan kapten boling padang wanita, Siti Zalina Ahmad (kanan) pada sidang media di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil. - Foto Muhaimin Marwan
SIMON Botha (kiri), bersama kapten boling padang lelaki, Fairul Izwan Abd Muin (tengah) dan kapten boling padang wanita, Siti Zalina Ahmad (kanan) pada sidang media di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil. - Foto Muhaimin Marwan
Jumiati Rosly 


SKUAD boling padang negara menyasarkan sekurang-kurangnya sebutir pingat emas untuk dibawa pulang dari Sukan Komanwel di Gold Coast, bulan depan.

Walaupun sering menjadi penyumbang pingat pada temasya kedua terbesar dunia itu, kali terakhir skuad negara menghadiahkan emas pada temasya 2006 di Melbourne. 

Siapa tahu dengan dua faktor - persiapan rapi termasuk menjalani latihan sebulan lebih awal di Australia dan sejarah pernah memenangi emas di bumi Kangaru - rezeki mungkin memihak kepada skuad negara untuk mengakhiri kemarau emas itu.

Apatah lagi, skuad kendalian jurulatih dari Afrika Selatan, Dr Simon Botha mempertaruhkan pemain berpengalaman untuk mengibarkan cabaran negara.

"Pingat itu (emas) boleh datang daripada tiga atau empat acara seperti acara perseorangan, beregu lelaki dan pasukan berempat wanita yang sebelum ini memenangi perak juga mempunyai peluang, namun semuanya bergantung pada prestasi atlet pada hari pertandingan.

"Namun, kami akan cuba pastikan sasaran sekurang-kurangnya sebutir emas itu mampu dibawa pulang,” kata Dr Simon.

Pada temasya di Glasgow 2014, skuad negara meraih dua perak yang disumbangkan pasukan berempat wanita (Emma Firyana Saroji, Nur Fidrah Noh, Nor Hashimah Ismail, Azlina Arshad) dan beregu lelaki  (Muhammad Hizlee Abdul Rais serta Fairul Izwan Abdul Muin).

------------------------------------------------------------------

SUKAN: Boling Padang 

TARIKH: 8-13 April 2018

VENUE: Broadbeach Bowls Club 

ATLET: 

1. Muhammad Soufi Rusli

2. Fairul Izwan Abd Muin

3. Muhammad Hizlee Abdul Rais

4. Mohammad Syamil Syazwan Ramli

5. Zukhilmie Redzuan

6. Emma Firyana Saroji

7. Siti Zalina Ahmad

8. Auni Fathiah Kamis

9. Azlina Arshad

10. Nur Fidrah NohS

SASARAN: Sekurang-kurangnya 1 emas

PENCAPAIAN SUKAN KOMANWEL 2014: 2 perak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 4:10 PM