EMMA FIRYANA SAROJI
EMMA FIRYANA SAROJI
Daripada Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid


HARI malang buat skuad boling padang negara apabila tiada satu pun pasukan yang bertanding di Broadbeach Bowls Club hari ini berjaya melepasi peringkat suku akhir.

Emma Firyana Saroji yang beraksi dalam acara singles gagal menyekat kemaraan peserta New Zealand, Jo Edwards apabila tewas 9-21, sesudah tewas kepada pemain sama 7-21 pada pusingan kelima.

Skuad pairs lelaki yang dibarisi Fairul Izwan Abd Moin dan Hizlee Abdul Rais pula tewas kepada Scotland 9-27 pada pusingan kelima sebelum tewas sekali lagi kepada Scotland pada suku akhir 11-16.

Australia pula menjadi batu penghalang buat skuad fours wanita yang dibarisi Siti Zalina Ahmad, Auni Fathiah Kamis, Azlina Arshad dan Nur Fidrah Noh apabila kalah 13-14 sebelum tewas kepada lawan sama pada suku akhir 12-14.

“Kami sudah jangkakan saingan akan sengit hari ini dan biarpun memberi sehabis baik, rezeki tidak berpihak kepada kami,” kata Siti Zalina.

“Selepas ini saya dan Emma akan beraksi dalam acara pairs wanita dan akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan matlamat kami tercapai.”

Pasukan triples lelaki diwakili Muhammad Soufi Rosli, Syamil Syazwan Ramli dan Zulkhilme Redzuan pula gagal mara ke suku akhir meskipun menang ke atas Norfolk Island 26-4 pada pusingan kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 9:43 PM