PEMAIN perseorangan negara Lim Yin Fun ketika beraksi menentang pemain Thailand.
PEMAIN perseorangan negara Lim Yin Fun ketika beraksi menentang pemain Thailand.
Ferzalfie Fauzi


PENGURUS pasukan wanita, Zamri Bahari mengakui skuad negara tetap memiliki kelebihan ketika berdepan juara Kumpulan X, Korea Selatan pada suku akhir Kejohanan Berpasukan Asia esok seterusnya memperoleh slot ke separuh akhir dan layak secara automatik ke Piala Uber.

Menurutnya, Malaysia mempunyai kelebihan dari segi perseorangan wanita manakala beregu wanita pula mula menyesuaikan diri dengan baik walaupun tanpa Woon Khe Wei yang mengalami kecederaan.

“Kami masih belum membuat keputusan siapa yang akan diturunkan kerana baru saja selesai undian, namun paling penting esok kami akan membariskan skuad terbaik. Kemungkinan kami akan menurunkan barisan pemain perseorangan yang sama seperti hari ini,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukan ranking skuad wanita yang berada pada kedudukan terbaik untuk layak, Zamri berkata, mereka mahu mencatat kemenangan terlebih dulu bagi aksi suku akhir esok sekali gus mara secara merit.

PEMAIN beregu badminton negara, Chow Mei Kuan (kiri) bersama Yea Ching Goh ketika beraksi menentang pemain beregu pasukan Thailand.
PEMAIN beregu badminton negara, Chow Mei Kuan (kiri) bersama Yea Ching Goh ketika beraksi menentang pemain beregu pasukan Thailand.

“Berdasarkan ranking sekarang (ketujuh) memang kami boleh layak tapi kami mahu menang dulu kerana ia lebih baik. Menang lebih memudahkan untuk layak ke Piala Uber. Saya mahu ketepikan soal ranking terlebih dulu tapi fokus mengenai aksi di sini,” katanya.

Kedudukan ranking akan dikemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada 22 Februari depan dan ia digunakan untuk menentukan baki pasukan yang layak ke pusingan akhir Piala Uber di Bangkok, Mei depan.

Zamri juga berpuas hati dengan semangat melawan yang dipamerkan anak buahnya walaupun mereka gagal muncul juara Kumpulan Y selepas tewas kepada Thailand 2-3 di Stadium Sultan Abdul Halim.

Sementara itu, hasil undian suku akhir hari ini menyaksikan Jepun akan berdepan Taiwan, Indonesia menentang India dan China bertemu Thailand.

Jika skuad wanita menang, lawan mereka pada separuh akhir sama ada China atau Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 10:41 PM