SONIIA bertemu pilihan utama pada suku akhir esok. — FOTO Eizairi Shamsudin
SONIIA bertemu pilihan utama pada suku akhir esok. — FOTO Eizairi Shamsudin
Ferzalfie Fauzi


PEMAIN perseorangan wanita negara, Soniia Cheah melakar kejutan pada pusingan kedua Terbuka Thailand apabila menumpaskan pilihan kelima dari China, He Bing Jiao di Bangkok hari ini.

Soniia yang kini menghuni ranking ke-32 dunia, mengambil masa 32 minit untuk mencatat kemenangan dua set terus 21-15, 21-12.

“Saya rasa gembira dengan kemenangan ini. Memang jelas semua perancangan saya berjalan lancar selepas berbincang dengan jurulatih sebelum perlawanan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Pemain berusia 26 tahun itu menyatakan aksi suku akhir esok berdepan seorang lagi pemain China, Chen Yu Fei lebih sukar.

WEE Kiong (kiri) dan V Shem teruskan kemaraan. — FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
WEE Kiong (kiri) dan V Shem teruskan kemaraan. — FOTO Nur Adibah Ahmad Izam

Yu Fei yang juga pilihan utama mara ke suku akhir selepas menumbangkan Kim Ga Eun dari Korea Selatan 21-10, 21-16.

Turut mara ke suku akhir beregu lelaki profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang mengejutkan pilihan ketujuh dari China, Han Cheng Kai-Zhou Hao Dong.

Mereka yang berdepan satu lagi pasangan dari negara Tembok Besar itu, Li Jun Hui-Liu Yu Chen esok berhempas-pulas sebelum menang 19-21, 21-16, 21-18 dalam masa 55 minit.

Sementara itu, gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik ditunjukkan jalan keluar apabila tumpas kepada Huang Kai Xiang-Liu Cheng dari China 20-22, 17-21 manakala Ong Yew Sin-Teo Ee Yi kalah 8-21, 17-21 kepada beregu Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Shin Baek Cheol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 8:56 PM