AFP

MELBOURNE: Bekas pemain nombor satu dunia, Maria Sharapova (gambar) melangkah ke pusingan kedua pada aksi Terbuka Australia pertamanya sejak dijatuhi hukuman penggantungan 15 bulan.

Pemain bukan pilihan dari Russia itu mengalahkan pemain Jerman, Tatjana Maria 6-1, 6-4 dalam tempoh sejam 18 minit.

“Lihat, saya masih menggeletar,” kata Maria sambil menunjuk ke arah lengannya ketika ditanya apakah makna bermain di Melbourne baginya.

“Saya menikmati saat-saat di sini. Saya suka bermain di sini,” katanya.

“Sudah dua tahun saya tidak beraksi di sini saya mahu jadikan ia sebagai sesuatu yang sangat bermakna buat saya. Tetapi saya sedar semakin lama ia akan menjadi semakin sukar.”

Di atas kertas, perlawanan itu pasti dianggap sengit. Maria yang sedang berusaha melonjakkan dirinya selepas digantung, menduduki tangga ke-48 sambil Tatjana satu anak tangga di atasnya.

Tetapi pengalaman antara Maria yang pernah memenangi 36 gelaran perseorangan sedangkan Tatjana yang masih belum pernah menjuarai mana-mana kejohanan menjadi sempadan yang sangat besar.

Maria yang juga juara Terbuka Australia 2008 itu mendahului 2-0 sebelum mudah mematahkan setiap pergerakan Tatjana.

Maria tidak berdepan masalah untuk menang set pertama 6-1 dalam tempoh 32 minit dan Tatjana cuba bangkit dengan mendahului 3-1 pada set kedua.

Tetapi Maria menyamakan kedudukan 3-3 tidak lama kemudian menerusi pukulan kilas yang sukar dikembalikan Tatjana.

Kedudukan selepas itu memihak kepada Maria yang mendapat sokongan padu peminat di Margaret Court Arena.

Maria digantung selepas didapati bersalah menggunakan dadah perangsang prestasi meldonium dan bergelut untuk kembali sejak dibenarkan bermain pada April 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 1:09 PM