KIM Swee (tengah) memberikan arahan kepada pemain sewaktu sesi latihan di Padang Latihan Sekolah Tinggi Changsu.
KIM Swee (tengah) memberikan arahan kepada pemain sewaktu sesi latihan di Padang Latihan Sekolah Tinggi Changsu.
Daripada Aziman Rosdi di Changshu dan China


JURULATIH negara, Datuk Ong Kim Swee (OKS) menganggap tiada guna barisannya hanya menggunakan taktik bertahan untuk mengelak daripada dibelasah pasukan hebat di Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 ( B-23) Tahun di Changshu, China.

Beliau berkata, selepas tewas 1-4 kepada Iraq dalam aksi pembukaan Kumpulan C di Stadium Changshu semalam, beliau akan tetap menggunakan pendekatan sama apabila berdepan Jordan pada perlawanan kedua Sabtu ini.

Ini kerana Kim Swee percaya, pentas Asia ini adalah medan terbaik untuk beliau menguji kemampuan anak buahnya mengikut corak permainan yang diinginkan.

“Saya boleh datang dengan corak taktikal bertahan setiap perlawanan tapi apa yang kita dapat pelajari hanya bertahan, kita tak akan pelajari corak permainan yang kita inginkan.

“Untuk pendedahan dan masa depan yang lebih baik, kita harus mula dengan corak permainan kita sendiri.

“Kita lakukan perkara positif dalam permainan semalam tapi tak konsisten, itu menyebabkan kita hilang kawalan dari segi penguasaan permainan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan hari ini.

Biarpun Iraq lebih mendominasi perlawanan, namun pemain negara tetap berani melancarkan asakan dan berjaya menembusi gawang lawan menerusi jaringan Safawi Rasid manakala satu lagi gol Syazwan Andik tak dikira oleh pengadil biarpun kelihatan bola sudah melepasi garisan gol.

Kim Swee berkata, anak buahnya perlu kembali fokus kerana mengakui Jordan dan Arab Saudi yang terikat

2-2 dalam aksi pertama adalah lawan setara seperti juara 2013, Iraq.

“Perlawanan dengan Jordan, saya akan terapkan permainan sama tapi mahu pemain melakukan perkara positif lebih konsisten. Pemain juga tak boleh melakukan kesilapan lagi, kesilapan di kejohanan peringkat ini akan membuatkan kita dihukum,” katanya.

Kim Swee mengadakan latihan di Padang Latihan Sekolah Tinggi Changshu, hari ini namun tanpa kapten Adam Nor Azlin yang direhatkan akibat demam manakala penyerang N Thanabalan pula mengalami hamstring.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 4:38 PM