MUHAMMAD Irfan Zakaria (kiri) dan Matthew Davies cuba mengekang serangan pemain Arab Saudi, Hamdan Atiah Alshamrani. Foto Agensi
MUHAMMAD Irfan Zakaria (kiri) dan Matthew Davies cuba mengekang serangan pemain Arab Saudi, Hamdan Atiah Alshamrani. Foto Agensi
Daripada Aziman Rosdi di Kunshan dan China


JURULATIH negara, Datuk Ong Kim Swee percaya anak buahnya adalah sandaran masa depan Malaysia selepas melakar sejarah mara ke suku akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun dengan mengejutkan Arab Saudi 1-0 di Stadium Kunshan, hari ini.

Beliau berkata, semangat juang tinggi serta disiplin pemain adalah kunci kepada kejayaan mereka melepasi halangan Kumpulan C selaku naib juara.

“Saya sangat berpuas hati dengan keputusan ini, kami mencipta sejarah, kami membuktikan kita ada pemain yang boleh bermain untuk mencapai kejayaan pada masa depan.

“Pemain menunjukkan karakter, kita bukan saja mendapat keputusan baik dengan Jordan (seri 1-1) malah kita menewaskan Arab Saudi yang sudah lama kita tidak melakukannya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia yang tampil buat kali pertama mengutip empat mata selepas seri 1-1 dengan Jordan dan tumpas kepada Iraq 1-4.

Kemaraan skuad negara juga dibantu dengan kemenangan Iraq, juara 2013 yang menewaskan Jordan 1-0 dalam satu lagi aksi terakhir kumpulan di Stadium Changshu.

Dalam perlawanan itu, Arab Saudi jelas menguasai permainan, namun Malaysia mampu juga memperoleh gol menerusi rembatan Daniel Amier Nor Hisham pada minit ke-28.

Kim Swee tetap mempertahankan persembahan anak buahnya biarpun mereka lebih banyak berkubu di kawasan sendiri.

“Saya tidak mahu menyentuh mengenai corak permainan kerana dalam perlawanan ini, keputusan lebih penting.

“Kita tahu selepas kita mendahului satu gol, Arab Saudi akan menyerang tapi pemain menunjukkan disiplin yang tinggi ketika bertahan,” katanya.

Skuad negara akan beraksi di suku akhir pada 20 Januari ini di Stadium Kunshan bertemu juara Kumpulan D yang bakal ditentukan oleh Korea Selatan, Australia, Vietnam dan Syria, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 10:21 PM