ANAK buah Kim Swee gigih berlatih pada aksi kedua.
ANAK buah Kim Swee gigih berlatih pada aksi kedua.
Firdaus Hashim melaporkan dari Phnom Penh

KEJAYAAN skuad bawah 23 (B-23) tahun negara bangkit daripada kekalahan pertama di tangan Iraq 1-4 sebelum mara ke suku akhir Kejuaraan AFC di Changshu, China tahun lalu akan menjadi inspirasi terbaik buat Malaysia melakukan perkara sama pada aksi kedua Piala LG B-22 AFF berdepan Indonesia, petang ini.

Tugas berat menanti skuad B-22 untuk mencatat kemenangan selepas tewas mengejut 0-1 kepada Kemboja pada aksi pertama di Stadium Olimpik, Phnom Penh, kelmarin.

Buat salah seorang anggota skuad tahun lalu yang kini bergelar ketua pasukan B-22, Dominic Tan berkata, mereka akan menjadikan kejayaan di China sebagai pembakar semangat dan percaya rakan sepasukannya mampu melakar kejutan ke atas skuad garuda muda.

“Bagi saya setiap kejohanan agak lain, mungkin perjalanan sama, tapi kita perlu bangkit tidak kira satu atau tiga mata di samping kena pertingkatkan permainan.

“Kita pernah buat (bangkit di AFC), jadi tak ada masalah asalkan rakan-rakan mesti tahu apa tujuan kita datang ke sini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di padang AIA, di sini, semalam.

KIM Swee mahu anak buahnya menyerang. FOTO/NSTP
KIM Swee mahu anak buahnya menyerang. FOTO/NSTP

Pada kejuaraan AFC yang turut dibimbing Datuk Ong Kim Swee tahun lalu itu, skuad negara bangkit dengan mengikat Jordan 1-1 sebelum mengejutkan pasukan pilihan Arab Saudi pada aksi terakhir kumpulan dengan 1-0.

Kejayaan itu menyaksikan Malaysia berjaya menamatkan kedudukan sebagai naib juara Kumpulan C dan membuat perhitungan dengan Korea Selatan di suku akhir.

Bagaimanapun, aksi cemerlang itu gagal diteruskan apabila tewas 1-2 dengan gol tunggal negara dijaringkan oleh N Thanabalan menerusi tandukan bersahaja pada minit ke-67.

Sementara itu, Kim Swee menegaskan skuad kendaliannya akan tampil dengan corak menyerang bagi memburu gol awal dalam pertemuan ‘hidup mati’ itu.

“Saya tak nampak yang kita harus bertahan, dah tentu kita perlukan jaringan terutama jika ingin mendapatkan kemenangan. Tiada perancangan untuk melakukan sistem bertahan, di mana corak permainan kita selama ini pun bukan bertahan,” kata pengendali dari Melaka itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 10:20 AM