SALAH mampu kucar-kacirkan City selepas kembali daripada kecederaan. -Foto AFP
SALAH mampu kucar-kacirkan City selepas kembali daripada kecederaan. -Foto AFP
Reuters

LONDON: Liverpool dilihat mempunyai harapan realistik untuk menyekat kemaraan Manchester City memburu gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini apabila kedua-duanya bertemu Ahad ini, walaupun mereka perlu cepat menyesuaikan diri dengan ketiadaan Philippe Coutinho.

Perancang Brazil itu menyempurnakan perpindahan bernilai 142 juta pound (RM766.8 juta) ke Barcelona Isnin lalu, menjadikan gandingan empat peledak berbisa Juergen Klopp kini tinggal hanya tiga orang.

City yang belum tewas kini mempunyai kelebihan 15 mata di puncak liga, mencatat jaringan tertinggi dengan 64 gol, tetapi Liverpool di tangga keempat muncul pasukan kedua terbanyak dengan 50 gol.

Skuad kendalian Klopp belum tewas 17 perlawanan dalam semua pertandingan sejak dibelasah 4-1 oleh Tottenham pada 22 Oktober.

Pemain sayap Mesir Mohamed Salah dijangka kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan dan dia bakal bergandingan dengan Sadio Mane untuk mengiringi Roberto Firmino di barisan depan.

Walaupun Coutinho sudah tidak bersama mereka untuk memberikan umpanan, kepantasan dan kelicikan tiga pemain itu sudah cukup untuk memerangkap benteng Pep Guardiola.

City bagaimanapun sudah pasti mahu mengulangi kemenangan 5-0 ke atas Liverpool di Etihad pada September, walaupun terpaksa turun tanpa penyerang Gabriel Jesus yang meledak dua gol ketika itu.

Kali ini mereka terpaksa berdepan dengan Virgil van Dijk di benteng Liverpool yang melakukan penampilan Liga Perdana pertama bersama kelab Anfield itu sejak berpindah dari Southampton.

Dia tampil buat kali pertama bersama kelab barunya itu dalam saingan Piala FA, di mana dia menjaringkan gol kemenangan lewat permainan menentang Everton.

Pemain tengah City Kevin De Bruyne bagaimanapun tidak mahu terlalu memikirkan prestasi pihak lawan sebaliknya akan fokus untuk membawa pulang tiga mata.

“Kami pergi ke sana untuk menang,” katanya. “Mereka mempunyai pasukan yang kuat dan mahu merebut tiket ke Liga Juara-Juara. Kami hanya akan buat apa yang kami buat dengan baik dan kita lihat apa yang akan terjadi.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 1:19 PM