TIMMY lakukan 300 jatuhan pin.
TIMMY lakukan 300 jatuhan pin.
Farah Azharie

TIMMY Tan mencatat permainan sempurna, 300 jatuhan pin, di permainan ketujuh untuk mengungguli skuad A di kejuaraan boling Piala Storm PBA Korea di Gyeonggi, Korea Selatan.

Pemain 23 tahun itu kini berada di landasan terbaik untuk menamatkan kemarau kemenangannya musim ini apabila mencatat 300, 279, 212, 237,190, 172 di blok kedua untuk keseluruhan 2,875 jatuhan pin.

“Timmy bermain dengan baik dan saya harap dia dapat mengekalkan rentaknya sehingga ke final,” kata jurulatih skuad negara, Ben Heng.

Sementara itu Sin Li Jane turut mengekalkan rentak cemerlang dengan mengumpul 2,540 jatuhan pin untuk mendahului skuad C selepas dua blok permainan.

Turut menemani TImmy dan Li Jane ke pusingan seterusnya ialah Muhammad Rafiq Ismail yang mencatat 2,652 jatuhan pin keseluruhan untuk menduduki tangga keenam skuad A.

Dalam skuad B, ratu boling negara Shalin Zulkifli turut lolos ke pusingan seterusnya selepas menduduki tangga kedua dengan catatan 2,814 jatuhan pin. Bagaimanapun pemain nombor satu Asia Siti Safiyah Abdul Rahman gagal mara selepas sekadar menduduki tangga ke-25 akibat kurang sihat.

“Dia tidak sihat hari ini dan ia mengganggu rentak permainannya,” kata Ben.

Timmy, Rafiq, Shalin dan Li Jane akan bertarung dalam enam permainan sebelum layak ke pusingan match play esok.

Kejohanan di Korea kali ini menawarkan hadiah keseluruhan 100 juta Won (RM376,000).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 12:43 AM