SHALIN (kiri) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan selepas menjatuhkan kesemua pin dalam acara boling berpasukan enam wanita pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Komplex Sukan Bowling Jakabaring. -Foto BERNAMA
SHALIN (kiri) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan selepas menjatuhkan kesemua pin dalam acara boling berpasukan enam wanita pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Komplex Sukan Bowling Jakabaring. -Foto BERNAMA
Fabian Peter


KUALA LUMPUR: Kem boling negara terlepas satu lagi pingat emas di Sukan Asia apabila skuad wanita meraih perak dalam acara berpasukan di Palembang, hari ini.

Pasukan negara yang dibarisi Shalin Zulkilfi, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Esther Cheah, Sin Li Jane dan Natasha Roslan mengumpul 8,149 jatuhan pin selepas 24 permainan, menamatkan saingan di belakang Korea Selatan yang berkelebihan 189 jatuhan pin.

Taiwan pula meraih gangsa selepas mengumpul 7,969 jumlah jatuhan pin.

Pengurus pasukan boling negara, Maradona Chok, mengakui persembahan kurang menyerlah pada permainan kelima menjadi punca Malaysia terlepas peluang meraih pingat emas kedua di Pusat Boling JSC.

Ketika dihubungi, Maradona yang juga Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) berkata: “Ia adalah acara berpasukan yang sengit.

“Semua pemain sudah melakukan yang terbaik tetapi sedikit bergelut dalam permainan kelima. Ia juga memberi keyakinan kepada wakil Korea Selatan.”

Rabu lalu, trio wanita yang dibarisi Syaidatul Afifah, Siti Safiyah dan Esther Cheah, menceriakan kontinjen Malaysia dengan emas pertama.

Ia disusuli dengan pingat perak dari trio lelaki sehari kemudian menerusi gandingan Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol dan Timmy Tan.

Berkenaan harapan terhadap acara berpasukan lelaki, esok, Maradona menambah: “Acara berpasukan lelaki akan menjadi satu lagi persaingan sengit dan pasukan negara diharap membuktikan bahawa mereka boleh mempamerkan permainan terbaik.

“Mereka memiliki keyakinan terutama selepas meraih pingat perak dalam trio lelaki pada Khamis.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 10:14 PM