PEMAIN boling negara, (dari kiri) Shalin Zulkifli, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Natasha Roslan, Ester Cheah dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman memenangi pingat emas dalam acara boling berpasukan wanita Sukan SEA KL2017 di Sunway Megalanes. FOTO Danial Saad
PEMAIN boling negara, (dari kiri) Shalin Zulkifli, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Natasha Roslan, Ester Cheah dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman memenangi pingat emas dalam acara boling berpasukan wanita Sukan SEA KL2017 di Sunway Megalanes. FOTO Danial Saad
Fabian Peter


Kuala Lumpur: Kedua-dua trio bowling wanita negara sudah semakin hampir ke separuh akhir Kejohanan Bowling Dunia selepas menamatkan saingan blok pertama di Las Vegas, semalam.

Kecemerlangan trio wanita itu bagaimanapun gagal diikuti trio lelaki yang masih perlu meneruskan aksi sambil memastikan mereka tidak banyak melakukan kesilapan.

Hanya empat trio teratas bagi setiap kategori dipilih untuk bermain di separuh akhir, Ahad ini.

Selepas tamat tiga permainan pertama, Natasha Roslan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman muncul trio negara terbaik apabila menduduki tempat keenam dengan 1,877 jatuhan pin.

Rakan senegara, Sin Li Jane, Esther Cheah dan Shalin Zulkifli pula di tangga ketujuh dengan 1,869 jatuhan pin.

Trio Indonesia, Putty Armein, Sharon Limansantoso dan Tannya Roumimper mendahului senarai dengan 1,963 jatuhan pin diikuti trio Amerika Syarikat (AS), Shannon O’Keefe, Danielle McEwan dan Kelly Kulick (1,910).

Trio Jerman, Janine Gabel, Tina Hulsch dan Patricia Luoto memulakan blok kedua di tangga ketiga dengan 1,904 jatuhan pin manakala trio Singapura, Cherie Tan, Daphne Tan dan Shayna Ng di tangga keempat dengan 1,893 jatuhan pin.

Pengurus Malaysia, Maradona Chok ketika dihubungi berkata: “Keyakinan kami masih tinggi dan semua wakil negara sedia memberikan saingan kepada sesiapa saja. Kami akan melawan hingga akhirnya.”

Sementara itu, dalam acara lelaki, Adrian Ang, Ahmad Muaz Fishol dan Timmy Tan muncul trio terbaik Malaysia selepas blok pertama dengan menduduki tangga ke-13 (1,857 jatuhan pin).

Trio kedua negara yang dibarisi Rafiq Ismail, Syafiq Ridhwan dan Alex Liew pula mengumpul 1,750 jatuhan pin dan bakal memulakan blok kedua di tangga ke-40.

Trio Jepun, Daisuke Yoshida, Shogo Wada dan Shusaku Asato mendahului saingan selepas mengumpul 2,018 jatuhan pin.

Sejak kejohanan bermula Jumaat lalu, Malaysia sudah mengumpul pingat perak menerusi Shalin dan Li Jane dalam acara beregu wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 5:27 AM