GANDINGAN Shalin Zulkefli (kanan) bersama Siti Safiyah (kiri) dalam acara tenpin boling Sukan SEA KL2017 sekadar duduki tempat keempat. -Foto DANIAL SAAD
GANDINGAN Shalin Zulkefli (kanan) bersama Siti Safiyah (kiri) dalam acara tenpin boling Sukan SEA KL2017 sekadar duduki tempat keempat. -Foto DANIAL SAAD
BERNAMA

BEREGU wanita negara gagal mengulangi kecemerlangan meraih emas Sukan SEA di Singapura dua tahun lalu, apabila gagal membawa pulang sebarang pingat dalam acara tenpin boling di Sunway Mega Lanes, hari ini.

Kedudukan terbaik negara ialah melalui gandingan Shalin Zulkifli-Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman yang mencatat 2,456 jatuhan pin untuk berada di tangga keempat, ketinggalan lapan mata di belakang gandingan Singapura yang menduduki tempat ketiga.

Pingat emas dimenangi beregu Indonesia, Sharon Adelina Liman Santoso-Tannya Roumimper dengan catatan 2,561 jatuhan pin.

Pingat perak dan gangsa masing-masing diraih beregu Singapura, Cherie Tan-New Hui Fen dan Daphne Tan-Shayna Ng dengan catatan masing-masing 2,490 dan 2,464 jatuhan pin.

Pada 2015, beregu wanita negara, Sin Li Jane-Esther Cheah Mei Lan, merangkul emas dengan 2,651 jatuhan pin.

Saingan pada awalnya berpihak kepada Malaysia apabila berada di kedudukan pertama dengan 449 jatuhan pin menerusi gandingan Sin Li Jane-Esther Cheah dalam pusingan pertama.

Pasangan negara itu meninggalkan gandingan Singapura, Bernice Lim-Jazreel Tan di tempat kedua dengan 427 jatuhan pin diikuti peserta Indonesia, Sharon Adelina Liman Santoso-Tannya Roumimper di tempat ketiga dengan 418 jatuhan pin.

Bagaimanapun, juara bertahan itu gagal mengekalkan rentak permainan baik dan terpaksa akur untuk menduduki tangga keenam daripada 17 beregu yang bertanding.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 9:30 PM