ASHRAF tekad mahu buru slot beraksi di  Filipina dua tahun lagi. FOTO/FACEBOOK Ashraf Saipu Rahman
ASHRAF tekad mahu buru slot beraksi di Filipina dua tahun lagi. FOTO/FACEBOOK Ashraf Saipu Rahman
Mohd Khairie Khalid


MUHAMMED Ashraf Saipu Rahman kembali mencari rentak selepas berdepan episod ‘suram’ apabila gagal menempatkan dirinya untuk saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Pemenang pingat gangsa lompat tinggi di Sukan SEA Singapura 2015 dengan lompatan setinggi 2.11 meter itu berkata dia perlu segera bangkit bagi memastikan dirinya tidak terlepas untuk mewakili negara ke temasya sama di Filipina dua tahun lagi.

Begitupun Ashraf tidak mahu bersikap tergesa-gesa merencanakan kariernya tahun depan kerana sedar Sukan Komanwel dan Asia adalah temasya bertaraf tinggi.

Selain ingin tampil dengan prestasi memberangsangkan, anak jati Terengganu itu juga betekad untuk berada seiring dengan pencapaian dua jaguh negara iaitu Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei.

“Saya ingin bangkit semula tahun depan kerana tidak dapat beraksi di KL2017. Pada mulanya saya memang kecewa tapi saya anggap ia bukan rezeki saya.

“Untuk temasya di Komanwel dan Asia tahun depan pula memang susah, jadi saya tidak meletakkan apa-apa harapan untuk ke sana.

“Apa yang saya mahukan adalah mahu perbaiki catatan terbaik peribadi kerana sudah lama saya tidak melakukannya,” kata Ashraf ketika dihubungi, hari ini.

Pencapaian peribadi terbaik atlet ini adalah 2.16m yang dicipta di Terbuka Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada 2015.

Pada aksi KL2017, Nauraj Singh dan Hup Wei membuktikan mereka adalah jaguh lompat tinggi terbaik rantau Asia Tenggara apabila masing-masing unggul dengan pingat emas dan perak.

Kedua-dua atlet ini sudah melepasi paras percubaan 2.24m namun Nauraj dinobatkan selaku juara selepas kiraan semula, sementara pingat perak milik Hup Wei, manakala gangsa dibawa pulang Nguyen Thanh Nhan dari Vietnam dengan catatan 2.18m.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 8:36 PM