Mohd Khairie Khalid


SKUAD olahraga negara kini berada dalam landasan terbaik bagi menamatkan penantian selama 16 tahun Malaysia untuk kembali memenangi pingat Sukan Komanwel.

Ketua jurulatih Zainal Abas berkata, dalam sejarah Komanwel, olahraga hanya berjaya menyumbang dua pingat buat kontinjen negara.

Pada 1998, ketika Malaysia menjadi tuan rumah, G Saravanan menyumbang pingat emas dalam acara 50km jalan kaki lelaki manakala kali terakhir Malaysia memenangi pingat Sukan Komanwel menerusi Yuan Yufang dalam acara 20km jalan kaki wanita di Manchester 2002 (gangsa).

“Jadi semangat juang dalam kalangan atlet adalah tinggi untuk menamatkan kemarau dan penantian yang lama. Kami harap momentum di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dapat diteruskan,” kata Zainal ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), malam ini.

Skuad olahraga yang rata-ratanya kali pertama beraksi pada temasya itu berlepas ke Gold Coast malam ini bagi membawa cabaran negara di Sukan Komanwel.

Mengulas lanjut, Zainal menjelaskan antara atlet yang dilihat mampu memenangi pingat pada Sukan Komanwel Gold Coast adalah Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei, kedua-duanya dalam acara lompat tinggi lelaki.

“Berdasarkan prestasi ketika ini, Nauraj dan Hup Wei berada dalam ranking untuk mencapai sekurang-kurangnya pingat gangsa.

“Kecederaan Irfan Shamsuddin (lempar cakera) sudah pulih sepenuhnya malah dia sudah bertolak awal ke Australia bersama jurulatih. Jadi kami harap Irfan mampu memperbaiki rekod kebangsaan seperti dilakukannya setiap tahun sebelum ini.

“Jika Hakimi Ismail (lompat kijang) mampu memperbaiki catatan peribadi terbaik dan rekod kebangsaan serta melepasi jarak 16.80m, dia ada peluang untuk mencuri sekurang-kurangnya pingat gangsa,” kata Zainal.

Acara olahraga berlangsung dari Ahad hingga 15 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 11:59 PM
KETUA jurulatih negara, Zainal Abas bergambar bersama atlet olahraga negara sebelum berlepas ke Gold Coast dari KLIA2 bagi menyertai Sukan Komanwel 2018. - Foto MOHD FADLI HAMZAH
KETUA jurulatih negara, Zainal Abas bergambar bersama atlet olahraga negara sebelum berlepas ke Gold Coast dari KLIA2 bagi menyertai Sukan Komanwel 2018. - Foto MOHD FADLI HAMZAH