NAURAJ (kiri) yang memenangi pingat emas manakala  Hup Wei pingat perak dalam acara lompat tinggi lelaki akhir  di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO/YAZIT RAZALI
NAURAJ (kiri) yang memenangi pingat emas manakala Hup Wei pingat perak dalam acara lompat tinggi lelaki akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO/YAZIT RAZALI
Devinder Singh

devinder.nstp.com.my

PERSAINGAN antara dua atlet negara Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei menyaksikan mereka berdua bersaing sengit untuk merebut pingat emas pada acara lompat tinggi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Kedua-duanya melepasi ketinggian 2.24 meter (m) tetapi Nauraj dianugerahkan emas selepas melakukan kurang percubaan berbanding Hup Wei yang melakukan tiga percubaan untuk melepasi ketinggian itu.

Atlet Vietnam Nguyen Thanh Nhan meraih gangsa selepas melepasi ketinggian 2.18m.

Baru pulang dari Kejohanan Dunia di London, kejayaan Nauraj mendapat sokongan peminat yang berada di stadium ketika dia melengkapkan hatrik emas dalam acara itu di Sukan SEA.

“Saya gembira dapat menyumbang emas untuk Malaysia,” katanya yang memenangi emas pada edisi 2013 dan 2015. “Sokongan peminat sukar dipercayai.

“Saya tidak sangka diberikan sokongan begitu hebat. Mereka mengagumkan dan saya ucapkan terima kasih kepada mereka.

“Pujian juga wajar diberikan kepada Hup Wei yang benar-benar mendesak saya untuk melepasi ketinggian 2.24m. Hup Wei berlatih bersama saya di Australia dan kami saling bersaing di sana dan hari ini pula di sini.

“Dia rakan sepasukan yang bagus. Saya gembira kerana kami berdua menyumbang pingat untuk negara.”

Kedua-duanya menyamai rekod Sukan SEA, 2.24m yang dicatat atlet negara Loo Kum Zee pada 1995.

Mereka bagaimanapun gagal melepasi ketinggian 2.28m untuk mencatatkan rekod baru.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 8:47 PM