CHERCHESOV (kiri) enggan dabik dada walaupun berjaya elak daripada diundi bersama Sepanyol. -Foto Reuters
CHERCHESOV (kiri) enggan dabik dada walaupun berjaya elak daripada diundi bersama Sepanyol. -Foto Reuters
AFP

RUSSIA boleh menarik nafas lega selepas berjaya mengelak daripada diletakkan dalam satu kumpulan dengan Sepanyol dan lihat sebagai pasukan pilihan pada saingan peringkat kumpulan.

“Kumpulan yang ideal,” demikian tajuk utama media dalam talian tempatan selepas undian Piala Dunia 2018 yang berlangsung awal pagi tadi di State Kremlin Palace menyaksikan pasukan tuan rumah itu diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Arab Saudi, Mesir dan Uruguay.

Cabaran utama Russia dilihat hadir menerusi pemenang dua Piala Dunia, Uruguay yang dijangka membariskan Luis Suarez serta bintang Paris Saint-Germain (PSG), Edinson Cavani.

Baik jurulatih mahupun pengkritik, mereka melihat ia adalah undian yang cukup baik kerana dapat mengelak daripada diletakkan dalam kumpulan maut dengan Presiden Russia, Vladimir Putin sendiri menyaksikan sesi undian itu.

Mesir pastinya akan membariskan penyerang Liverpool, Mohamed Salah sementara Arab Saudi akan kembali ke pentas Piala Dunia sejak membuat penampilan terakhir pada 2006.

“Saya rasa ia undian yang sempurna dan ideal,” kata bekas jurulatih Russia dan pemenang tiga kejuaraan Liga Perdana,” Valery Gazzayev.

Presiden Kehormat Kesatuan Bolasepak Russia, Vyacheslav Koloskov mengakui tuah memihak kepada Russia dalam proses undian itu.

“Kita sepatutnya tidak berdepan masalah dengan pasukan di dalam kumpulan itu,” katanya.

Jurulatih Russia, Stanislav Cherchesov bagaimanapun enggan terlalu meletakkan keyakinan tinggi.

“Saya tidak boleh katakan sama ada gembira atau sebaliknya. Saya tidak terlalu mengenali pasukan lain dalam kumpulan kami.

“Kami hanya mahu mengelak daripada diundi bersama Sepanyol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 2:44 PM