Reuters

TIADA siapa yang akan memilih dua pasukan terburuk bagi aksi pembukaan Piala Dunia, namun semuanya tidak menjadi isu apabila Russia akan bertemu Arab Saudi bagi menandakan bermulanya pesta bola sepak terbesar dunia itu di Moscow.

Tuan rumah, Russia dan Arab Saudi adalah dua pasukan dengan ranking terendah pada temasya kali ini dengan prestasi mereka juga berada pada tahap yang kurang memberangsangkan.

Kekurangan aksi kompetitif menyaksikan Russia tergelincir ke ranking 70 dunia dan ia mengejutkan apabila menjadi pasukan yang layak ke Piala Dunia namun hampir serupa dengan Arab Saudi yang menghuni ranking ke-67 dunia dan layak bersaing menerusi kelayakan secara automatik pada pusingan kelayakan di Asia.

Meskipun gagal meraih sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan sejak Oktober 2017, tuan rumah masih memiliki harapan yang realistik untuk mara ke pusingan kedua buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun selepas diundi dalam kumpulan yang turut dihuni Mesir serta Uruguay.

Jurulatih Russia, Stanislav Cherchesov bekerja ‘lebih masa’ untuk membentuk semula pasukan khususnya di bahagian pertahanan selepas krisis kecederaan di posisi itu membabitkan pemain seniornya, namun pasukan tidak menunjukkan banyak perkembangan menjelang aksi Piala Dunia.

Kemenangan terakhir yang diraih mereka ketika membenam Korea Selatan 4-2, dua daripadanya adalah gol sendiri dan aksi pemanas badan baru-baru ini berakhir dengan kekalahan di tangan Austria dan terikat 1-1 dengan Turki.

Pada aksi terbabit, aksi Russia nyata jauh lebih buruk dan begitu berbeza daripada pasukan yang pernah memberi saingan sehingga mara ke separuh akhir Kejohanan Eropah sedekad lalu.

Prestasi kurang memberangsangkan sudah tentu menyukarkan hasrat mereka untuk merangkul Piala Dunia di laman sendiri namun motivasi pemain sudah tentunya berkobar untuk memberikan yang terbaik kepada penyokong mereka.

Sandaran utama mereka sudah tentulah kepada penyerang, Fyodor Smolov yang menjadi ‘mesin gol’ sejak diketepikan daripada skuad itu pada 2014.

Berdasarkan lebih 60 gol dalam tempoh tiga musim bersama Krasnodar, sudah tentu Smolov dapat meledak banyak gol sekiranya mendapat sokongan yang baik daripada rakan sepasukan.

Jika mereka memerlukan kemenangan, ia perlu dilakukan ke atas Arab Saudi yang sebelum ini tewas di tangan Itali, Perlu dan Jerman meskipun memperaga aksi terpuji ketika menewaskan Algeria dan Greece, bulan lalu.

Pemain Arab Saudi yang lebih banyak ‘terperuk’ dalam liga tempatan berdepan kekurangan pengalaman di peringkat antarabangsa dan keputusan meminjamkan sembilan pemain di kelab Sepanyol pada pusingan kedua musim lalu dilihat tidak memberi impak.

Kebanyakan pemain tidak mendapat peluang beraksi dengan ada antaranya sekadar beraksi beberapa minit pada perlawanan terakhir musim lalu.

Rekod di Piala Dunia mereka juga agak buruk. Ini adalah penampilan pertama mereka sejak 2006 dan mereka tewas tujuh perlawanan dan seri dua kali di peringkat kumpulan sepanjang tiga penyertaan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 5:24 PM