Varane (dua dari kanan) menanduk masuk gol pertama Perancis menyingkirkan Uruguay. FOTO AFP
Varane (dua dari kanan) menanduk masuk gol pertama Perancis menyingkirkan Uruguay. FOTO AFP
Reuters

NIZHNY NOVGOROD, Russia: Uruguay akhirnya rebah di bumi Russia selepas tumpas kepada Perancis di suku akhir Piala Dunia, namun mereka berlepas pulang dengan penuh bangga apabila sekali lagi berjaya menempatkan diri dalam kalangan pasukan terbaik dunia.

Walaupun hanya mempunyai jumlah penduduk kira-kira 3.3 juta orang, Uruguay melepasi halangan kumpulan pada tiga edisi terakhir, mara ke separuh akhir 2010 dan lapan terbaik kali ini.

Di Russia, mereka memenangi tiga aksi kumpulan tanpa melepaskan gol, sebelum menyingkirkan Portugal 2-1 pada pusingan 16 terakhir.

Biarpun akhirnya terkandas di suku akhir apabila kalah 2-0 kepada Perancis, semalam, namun nasib berbeza mungkin dialami mereka seandainya dapat menggunakan khidmat tonggak berpengaruh Edinson Cavani yang disisihkan kerana cedera.

Ketiadaan penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu, yang meledak dua gol ketika berdepan Portugal, ternyata merencatkan permainan Uruguay dan membantu Perancis melalui hari yang mudah dengan penjaga gol Hugo Lloris hanya sekali perlu melakukan aksi menyelamat berbahaya.

"Saya gagal merakam sebarang percubaan tepat ke gawang," kata penyerang Uruguay, Luis Suarez yang bengang dengan situasi terbabit.

Namun, gergasi Amerika Selatan itu tetap mendapat sorakan gemuruh daripada peminat Russia yang melaungkan slogan 'Uruguay' selain penghormatan daripada penyokong sendiri, pelukan pemain Perancis dan kata-kata pujian daripada jurulatih mereka, Oscar Tabarez.

"Kami akan terus bermimpi. Ia belum lagi berakhir. Piala Dunia berlangsung setiap empat tahun sekali," kata Tabarez, yang bangga dengan kejayaan anak-anak buahnya mengatasi pencapaian Jerman dan Argentina sebagai lapan pasukan terbaik.

Malah, tangisan pertahanan Uruguay, Jose Gimenez beberapa minit sebelum berakhir perlawanan yang sempat dirakam kamera turut mengundang rasa simpati dan penghormatan daripada seluruh peminat bola sepak dunia.

Dia dilihat bermain sambil mengalirkan air mata kerana tahu sudah terlambat untuknya dan rakan sepasukan mengubah keputusan perlawanan yang ketika berkedudukan Uruguay ketinggalan 2-0.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 9:29 PM