GUERRA (kanan) tidak akan kembali sarung jersi PKNS. -Foto fail
GUERRA (kanan) tidak akan kembali sarung jersi PKNS. -Foto fail
Rodly Fadly

BEKAS penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) Gabriel Guerra tidak akan kembali ke pangkuan PKNS FC sekalipun pasukan itu meluahkan hasrat untuk melamarnya semula.

Hal ini ditegaskan sendiri Guerra sekali gus meranapkan impian PKNS untuk menggunakan semula khidmatnya musim depan selepas setahun pemain itu meninggalkan mereka.

“Saya tidak akan kembali kepada PKNS, itu sahaja saya mahu beritahu,” kata Guerra ringkas melalui pesanan WhatsApp.

Jawapan itu adalah reaksi Guerra kepada kenyataan pengurus PKNS, Mahfizul Rusydin Abd Rashid yang berkata kelab itu sedia menawarkan tempat kepada pemain berkenaan selepas dia digugurkan oleh JDT.

Pemain yang mesra dengan panggilan Gabby itu walau bagaimanapun enggan berkongsi perancangannya untuk musim depan.

Dia yang kini sedang bercuti di Eropah bersama keluarga, hanya menyatakan belum sedia membuat sebarang keputusan.

Pemain import Argentina itu yang mengakui mengetahui dia digugurkan dari skuad JDT 10 hari lalu juga enggan memberi komen mengenai keputusan kelab berkenaan mengetepikannya.

Pengguguran Gabby bersama seorang lagi pemain import, Gonzalo Cabrera agak memeranjatkan peminat kerana dia dilihat turut memainkan peranan berkesan dalam membantu JDT menjuarai Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

Sepanjang semusim bersama pasukan itu, Gabby yang pada awalnya mewakili JDT 2 menjaringkan 25 gol dalam 43 perlawanan untuk semua kejohanan.

Gabby mula membina nama di Malaysia apabila menyertai PKNS pada musim 2015 dengan membantu kelab itu layak ke Liga Super 2017 selepas muncul naib juara Liga Perdana pada 2016.

PKNS turut mencipta sejarah apabila buat pertama kali layak ke final Piala FA pada 2016 sekalipun sekadar bergelar naib juara selepas ditewaskan 2-1 oleh JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 9:35 AM