Oleh Nor Faizah Mohamed


Bertepuk sebelah tangan pastinya tidak akan berbunyi. Andai tiada yang menepuknya, masakan ia boleh memberi kesan pada tangan yang sebelah lagi.

Ia tafsiran tepat diberikan kepada Gabby, watak utama dalam naskhah terkini Jane Green ini.

Gabby dan Elliot pasangan bahagia yang sudah 18 tahun berumah tangga serta sibuk membesarkan dua anak perempuan mereka.

Kehidupan mereka sama seperti pasangan lain dan tiada apa yang dapat menggugat kebahagiaan keluarga ini sehingga Gabby secara drastik mengubah hidupnya.

Pertemuan dengan beberapa rakan rapatnya di sebuah kelab malam kala suami masing-masing keluar menyertai perkhemahan bersama kumpulan anak mencetuskan perkenalan tidak diduga antara Gabby dan Matt.

Matt, jutawan muda yang banyak menghabiskan masanya di pejabat dan seminar, tertarik dengan Gabby atas faktor intelektual serta aura elegan yang ditampilkan wanita itu.

Matt membuatkan Gabby kembali rasa dihargai dan bertenaga. Matt membuatkan Gabby kembali kepada personaliti asalnya, seakan-akan dirinya kembali kala usia 20-an.

Hubungan jarak jauh antara dua insan ini bermula tanpa sebarang emosi bagi Gabby, tetapi sebaliknya pada Matt.

Secara perlahan-lahan Gabby semakin tertarik dengan daya karisma dan kematangan Matt, ditambah konflik dirinya bersama Elliot yang enggan menambah ahli keluarga.

Gabby semakin hanyut dengan layanan dan perhatian daripada Matt hingga membuatkan rentak kehidupannya berubah secara mendadak.

Jelas sekali Gabby berdepan krisis pertengahan usia yang dilakar dengan baik dalam novel ini. Matt hadir membantunya mencari jati dirinya yang semakin hanyut dek tuntutan tanggungjawab pada keluarga.

Jane meletakkan impak pro dan kontra dalam plot Elliot-Gabby-Matt ini di mana kesilapan ringkas dan bodoh yang kita lakukan berupaya memberi kesan mendalam pada kehidupan orang lain.

INFO

- Judul: Tempting Fate

- Penulis: Jane Green

- Penerbit: Griffin

- Harga: RM49.90

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 10:48 AM