MARQUEZ (kanan) dan Rashid ketika beraksi pada perlawanan pertunjukkan di Velodrom Nasional Nilai sempena pelumbaan MotoGP Sepang. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
MARQUEZ (kanan) dan Rashid ketika beraksi pada perlawanan pertunjukkan di Velodrom Nasional Nilai sempena pelumbaan MotoGP Sepang. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Ferzalfie Fauzi


BEKAS jurulatih perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek mengakui Leong Jun Hao memberi sinar baharu kepada badminton negara dan berharap nasib naib juara Kejohanan Remaja Dunia itu tidak jadi seperti pemain sebelum ini.

Menurut pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta itu, ramai pemain negara yang berjaya di peringkat remaja sebelum ini, namun sehingga sekarang tidak ada yang dapat menggantikan Datuk Lee Chong Wei.

“Bagaimanapun, saya harapkan dia (Jun Hao) bakal gantikan Chong Wei satu hari nanti. Kita tidak tahu berapa lama masa yang akan diambil tapi paling penting ialah komitmen dan mental dia perlu kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perlawanan pertunjukan bersama bekas pemain beregu lelaki, Yap Kim Hock dan dua pelumba MotoGP, Marc Marquez (Repsol Honda) dan Jorge Lorenzo (Ducati) di Velodrom Nasional, hari ini.

Menurut Rashid, kejohanan peringkat remaja dan terbuka ibarat langit dan bumi serta tidak semestinya pemain yang menyinar ketika usia muda akan menjadi bagus ketika di peringkat senior.

“Dia perlu berusaha keras dan rapatkan jurang dengan pemain senior. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu membenarkan Jun Hao sentiasa menjalani latihan bersama pemain senior kerana itu sangat bagus untuk dia. Dia juga perlu lebih pendedahan di kejuaraan lebih besar.

“Bagaimanapun, perkara ini harus dilakukan peringkat demi peringkat. Jangan terus beri pendedahan di kejohanan besar kerana bimbang dia akan cepat kecewa jika kalah. Bukan mudah menang di kejohanan besar, perlu berperingkat bermain di Cabaran Antarabangsa, Grand Prix (GP) dan GP Emas,” katanya.

Kata Rashid, peralihan dari remaja ke senior sangat penting, di mana seseorang pemain harus mempunyai motivasi tinggi dan mental kuat untuk merapatkan jurang dengan pemain lain.

“Saya harap dia terus berusaha keras, kalahkan pemain yang lebih tinggi tahap permainannya. Jangan mudah kecewa dan putus asa.

Saya juga harapkan Datuk Misbun Sidek (ketua jurulatih perseorangan lelaki negara) dapat melahirkan satu lagi Chong Wei. Kembalikan kegemilangan pemain perseorangan lelaki negara,” kata Rashid yang berpasangan dengan Marquez menentang Lorenzo-Kim Hock dalam perlawanan pertunjukan yang turut dihadiri legenda MotoGP, Mick Doohan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 4:25 PM