Datuk Seri Jalani Sidek

Minggu lalu, nama pemain perseorangan lelaki Leong Jun Hao (gambar) tiba-tiba muncul apabila melangkah ke pentas final Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Yogyakarta, Indonesia.

Namun, nasib nyata tidak menyebelahi pemain negara itu yang tewas kepada pilihan pertama dari Thailand, Kunvalut Vitidsarn 21-17, 15-21, 9-21 pada aksi final.

Jika tidak, pastinya Jun Hao dapat mengikut jejak langkah Zulfadli Zulkiffli yang muncul pemenang pada edisi 2011 di Taiwan.

Sejak Jun Hao berjaya mara sejauh itu, sudah ada cakap-cakap yang menyatakan dia adalah pengganti terbaik untuk siapa lagi kalau bukan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei.

Nasihat saya, janganlah terlalu terburu-buru terus mengiktiraf Jun Hao sampai begitu sekali.

Hakikatnya, perjalanan kariernya masih panjang dan banyak lagi halangan serta cabaran yang perlu ditempuhi.

Cuma, saya mengharapkan agar Jun Hao diberi perhatian sebaik-baiknya oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Satu perancangan yang rapi perlu diatur untuknya agak bakat besar ini tidak disia-siakan begitu saja seperti juara-juara sebelum ini.

Saya berpendapat elok untuk Jun Hao mula didedahkan dengan kejohanan utama yang membolehkannya menimba pengalaman.

Ketika kita berbangga dengan pencapaian Jun Hao, Goh Jin Wei pula gagal meneruskan rentak cemerlang apabila terkandas di separuh akhir.

Pemain perseorangan wanita negara itu tewas straight set 21-9, 21-10 kepada Han Yue dari China.

Kegagalan itu sekali gus menyaksikan Jin Wei gagal gulangi pencapaian 2015 apabila muncul juara dunia.

Tidak dinafikan, Jin Wei pada pandangan saya adalah seorang pemain berbakat.

Namun jika persiapan untuk ke satu-satu kejohanan tidak mencukupi, maka ia pasti memberi kesan besar dan itulah juga yang mungkin berlaku kepada Jin Wei.

Apapun pencapaian Jun Hao dan Jin Wei boleh dilabel sebagai membanggakan kerana mereka mampu melangkah jauh pada saingan berprestij itu.

Jelas sekali kita masih lemah untuk acara lain sekali gus memberi isyarat sesuatu perlu dilakukan agar pemain negara tidak terus ketinggalan apabila memasuki era sebagai pemain senior.

Jika tidak, cerita pemain berbakat tetapi malap di pentas senior akan terus menjadi cerita hangat. Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 6:19 AM