JUN Hao membanggakan negara selepas ungguli Kejohanan Remaja Asia di Jakarta.
JUN Hao membanggakan negara selepas ungguli Kejohanan Remaja Asia di Jakarta.
Datuk Seri Jalani Sidek

Ketika tumpuan lebih terarah kepada persiapan skuad badminton negara untuk temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) dan Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, tiba-tiba muncul nama Leong Jun Hao.

Saya yakin tidak ramai yang mengenalinya namun anak muda ini sudah menggegar dunia apabila muncul juara perseorangan lelaki di Kejohanan Remaja Asia di Jakarta, baru-baru ini.

Pemain berusia 18 tahun itu mempamer aksi bertenaga untuk menewaskan pemain China Bai Yupeng pada final.

Beliau menamatkan penantian negara untuk merangkul gelaran juara yang kali terakhir dimenangi Soo Teck Zhi pada 2013.

Bagi ramai pihak ia mungkin satu kejayaan yang biasa kerana membabitkan saingan di peringkat remaja saja.

Tetapi tidak untuk saya. Selama ini kita sememangnya mampu bersaing dengan negara lain apabila beraksi di peringkat remaja.

Namun, menginjak usia lebih senior, sukar sekali pemain kita untuk menyerlah sehingga pada satu tahap nama mereka semakin tenggelam.

Tidak perlu untuk saya menyebut satu persatu nama mereka kerana sebagai peminat badminton negara sudah tentu anda juga arif siapa yang saya maksudkan.

Saya tidak mahu Jun Hao seperti ‘produk’ lain yang menyerlah ketika di peringkat remaja tetapi hambar memasuki peringkat senior.

Justeru itu, saya amat berharap Jun Hao diberi layanan sebaik-baiknya.

Maksud saya ialah dia perlu diselia lebih baik oleh jurulatih kebangsaan selain menyediakan satu modul latihan yang komprehensif bagi membolehkannya kekal konsisten untuk tempoh yang lama.

Jika tidak, perkara sama akan berlaku seperti pemain negara lain yang pernah gagal.

Ini kerana tiada pemantauan rapi terhadap mereka selain tidak mempunyai satu perancangan khusus bagi membolehkan mereka terus berkembang maju.

Anda lihatlah bagaimana barisan pemain remaja China sebagai contohnya diberi pemantauan yang cukup rapi menjelang transisi ke peringkat senior.

Hasilnya, walaupun kadangkala mereka tidak menyerlah di peringkat remaja, namun menunjukkan hasil yang positif apabila beraksi di peringkat senior.

Saya pernah melihat sendiri Jun Hao beraksi ketika sesi latihan.

Penilaian saya ialah dia seorang pemain berbakat dan mempunyai semangat cukup tinggi.

Namun Jun Hao belum mempunyai skil yang baik selain tidak mempunyai senjata rahsia yang menjadi kekuatan bagi setiap pemain elit termasuk Datuk Lee Chong Wei.

Nah, sekarang kita sudah ada bakat yang cukup baik di depan mata. Jangalah disia-siakan begitu saja. Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 4:26 AM