YUSOFF (kiri) hanya kekalkan lapan pemain sedia ada. FOTO/KHAIRUNISAH LOKMAN
YUSOFF (kiri) hanya kekalkan lapan pemain sedia ada. FOTO/KHAIRUNISAH LOKMAN
Firdaus Hashim


MELAKA United menjanjikan penampilan lebih mantap pada saingan Liga Malaysia musim depan apabila merancang untuk memburu lima pemain tempatan bertaraf Liga Super.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Yusoff Mahadi, sekurang-kurangnya lapan pemain tempatan musim ini akan dikekalkan dengan selebihnya muka baru.

Jelas Yusoff, rombakan besar-besaran itu perlu bagi memastikan juara Liga Perdana musim 2016 itu menjadi pencabar kejuaraan musim depan berbanding sekadar bergelut di zon penyingkiran sepanjang musim ini.

“Selepas mengalami musim yang penuh mencabar, kami dapati perlunya perubahan besar dalam pasukan Melaka terutamanya dengan membawa masuk beberapa pemain berkualiti standard Liga Super musim depan.

“Berdasarkan pemain sekarang, kami cuma ada dua pemain yang pernah beraksi di Liga Super dengan selebihnya adalah tonggak Liga Perdana. Disebabkan itu, kami agak sukar untuk bersaing dengan pasukan Liga Super apabila sekadar berentap di bawahan liga saja.

“Bagaimanapun bukan mudah untuk kami mendapatkan lima pemain berpengalaman Liga Super memandangkan kelompok pemain yang sedikit dengan pasukan lain juga pastinya berlumba mengekalkan mereka.

“Begitupun saya boleh sahkan lima pemain itu sudah dikenal pasti dan kini di peringkat perbincangan untuk mendapatkan persetujuan mereka bersama kami,” katanya hari ini.

Skuad Hang Tuah sebelum ini mengesahkan sudah menawarkan kontrak lanjutan buat pengendali pasukan iaitu Eduardo Almeida yang berjaya menyuntik aksi lebih bertenaga hingga menyaksikan mereka kekal di Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 5:13 PM