Angan (kiri) dan Balic perkuat Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
Angan (kiri) dan Balic perkuat Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


SELEPAS lapan perlawanan tanpa khidmat kuota import, penantian Melaka berakhir selepas menyenaraikan dua ‘awang’ baharu bagi mengharungi baki saingan pusingan kedua Liga Super.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Farhan Ibrahim, berkata kehadiran dua pemain terbabit Davy Claude Angan dari Ivory Coast dan Dominik Balic (Croatia) melengkapkan kuota bagi menggantikan Anselmo Casagrande dipinjamkan ke Pulau Pinang dan Darko Markovic yang menyertai Kuala Lumpur.

Katanya, Angan yang beraksi di posisi serangan pernah menyarung jersi beberapa kelab di Norway, China dan Turki manakala Balic mengisi posisi tengah dan pertahanan pernah beraksi bersama kelab Divisyen 2 Croatia, NK Dugopolje.

Menurutnya, mereka sah menyertai pasukan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dan turun pada penampilan sulung berdepan Perak di Ipoh, esok.

Angan dan Balic menandatangani kontrak bersama di Wisma MUSA, Kompleks Sukan Hang Jebat, Paya Rumput, hari ini dan disaksikan Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Bendahari Kehormat MUSA, Yuhaizad Abdullah.

“Apapun kami sememangnya mengharapkan pengalaman luas Angan yang pernah beraksi di liga bola sepak teratas Norway selama empat musim bersama kelab Lyn, Honefoss dan Molde serta pernah muncul sebagai penjaring sepanjang musim 2012 ketika bersama (Molde) diharap bakal ‘menjadi’ ketika bersama Melaka.

“Rekodnya beraksi di Liga Super China bersama kelab Hangzhou Greentown selama tiga musim sebelum menyertai Gaziantepspor di Liga Super Turki pada musim 2016-2017 juga mampu menjadi taruhan buat pasukan kali ini,” katanya.

Sementara itu, Balic yang baharu berusia 23 tahun juga pernah menyertai kelab Divisyen Dua Croatia juga menjadi taruhan aksi cemerlang buat pasukan kali ini.

Malah, dia juga menyertai kelab terkemuka, HNK Hajduk Split, RNK Split termasuk NK Dugopolje di liga negaranya diharap tidak mengecewakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 6:31 PM