EDUARDO Almeida. FOTO Rasul Azli Samad
EDUARDO Almeida. FOTO Rasul Azli Samad
Nazri Abu Bakar

Melaka: Kuasa pemilihan pemain Liga Super Melaka United (MU) 2018 kini diletakkan di bahu ketua jurulatih Eduardo Almeida dalam memasti skuad terbabit mampu mencabar di pentas Liga Malaysia musim depan.

Pengurus pasukan MU, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, selepas pengendali dari Portugal terbabit hanya bersama pasukan sekitar Jun lalu dengan barisan pemain sudah tersedia, dia dilihat tidak mempunyai pilihan untuk membentuk pasukan lebih mantap.

Namun, selepas dia cemerlang mengambil alih tugas bekas jurulatih Eric Wililiams walaupun untuk tempoh enam bulan, sekali gus membuktikan kewibawaannya, Almeida kini diberi ruang yang lebih besar untuk menentukan barisan pemain MU musim depan.

“Sehubungan itu, kami menyerahkan kuasa kepadanya untuk memilih sendiri pemain yang diperlukan dengan pemantauan daripada pihak pengurusan.

“Malah, dia diberi ruang untuk mengenal pasti pemain musim ini yang perlu dikekalkan bagi saingan 2018 dengan mengambil kira pelbagai aspek sebelum membuat keputusan muktamad,”katanya.

Menurutnya, pendekatan terbabit sebagai memberi kuasa lebih besar kepada pengendali terbabit menentukan barisan pilihannya selepas cemerlang memenuhi sasaran meletakkan pasukan kekal di Liga Super dan mara ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Justeru, pilihan yang terhad buatnya membentuk pasukan yang lebih baik ketika bersama MU setakat ini, bukan lagi alasan buatnya pada saingan musim depan.

Malah, dengan jangka masa yang agak panjang bersama skuad Hang Tuah selepas khidmatnya disambung sudah pasti dia memiliki masa mencukupi membentuk pasukan.

Mohd Yusoff berkata, Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) hanya mengikat pengendali terbabit untuk jangka masa semusim dan jika cemerlang tidak mustahil kontraknya akan disambung 2019 kelak.

Semalam beliau berkata, MU menjanjikan penampilan lebih mantap pada saingan Liga Malaysia musim depan apabila merancang memburu lima pemain tempatan bertaraf Liga Super.

Malah, sekurang-kurangnya lapan pemain tempatan musim ini akan dikekalkan dengan selebihnya muka baru dengan memastikan skuad Hijau Putih menjadi pencabar kejuaraan musim depan berbanding sekadar bergelut di zon penyingkiran sepanjang musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 11:24 AM