IDRIS Haron
IDRIS Haron
Norizzah Baharudin


Melaka: Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron kekal menerajui jawatan Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) selepas skuad Sang Kancil mengekalkan kedudukan di Liga Super musim depan.

Beliau berkata, pencapaian skuad Hang Tuah tetap membanggakan walaupun tidak menepati sasaran awal untuk berada di kelompok enam terbaik selain turut mara ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2017.

“Walaupun pihak pengurusan diberi tekanan namun, mereka berjaya memastikan Melaka kekal di Liga Super meskipun pasukan ini pendatang baru selepas sekian lama tidak bersaing dalam liga utama bola sepak tempatan.

“Sekarang kita berada di tangga kelapan liga, saya percaya jika pemain dapat meneruskan rentak kemenangan dalam perlawanan terakhir nanti ia mampu melonjak tempat lebih baik pada penutup saingan musim ini,” katanya.

SKUAD Melaka United masih kekal beraksi dalam Liga Super musim depan.
SKUAD Melaka United masih kekal beraksi dalam Liga Super musim depan.

Sebelum ini, Idris pernah memberi teguran dan memberi bayangan akan melepaskan jawatan sebagai presiden sekiranya pasukan itu terus menampilkan prestasi hambar dalam Liga Super.

Idris juga mencadangkan khidmat pengendali Eduardo Almeida dilanjutkan selepas berjaya menyelamatkan bekas juara Liga Perdana itu terus terjerumus di dasar liga dan mengelakkan diri daripada penyingkiran.

“Beliau (Almeida) seorang yang bagus, kita dapat lihat perubahan yang dilakukannya, beliau lebih senang bersama pemain dan tidak mewujudkan dinding pemisah antaranya dengan pemain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 12:10 PM