PEMAIN Harimau Malaya tiba di KLIA sebentar tadi.
PEMAIN Harimau Malaya tiba di KLIA sebentar tadi.
Aziman Rosdi


PEMAIN pertahanan Harimau Malaya, Shahrom Kalam mengakui semua pemain ketika ini seperti berkabung kerana kecewa dengan kekalahan 0-2 kepada Hong Kong dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2019 semalam.

Katanya, mereka perlu memulihkan semula semangat dan keyakinan untuk mengharungi baki tiga perlawanan Kumpulan B dalam misi yang semakin sukar untuk mendapatkan slot ke pusingan akhir.

“Buat masa ini semua pemain dalam keadaan tak berapa bagus, kami baru mengalami kekalahan... tengah berkabung... tengah sedih.

“Memang agak sukar situasi ketika ini tapi peluang masih belum tertutup. Lubnan menang 5 gol dengan Korea Utara jadi peluang kami belum tertutup lagi tapi agak sukar,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di tanah air dari Hong Kong hari ini.

Skuad kebangsaan kendalian Nelo Vingada kini semakin terdesak apabila terus terperosok di tangga tercorot kumpulan dengan mengumpul satu mata selepas tiga perlawanan.

Sebelum beraksi di Stadium Hong Kong semalam, Malaysia tewas 1-2 kepada Lubnan di Larkin dan seri 1-1 dengan Hong Kong di Melaka.

Hanya kemenangan dalam baki dua perlawanan dengan Korea Utara dan Lubnan (satu perlawanan) akan menghidupkan peluang anak buah Vingada itu ke pusingan seterusnya namun dengan prestasi yang dipamerkan ketika ini jelas dilihat sukar.

Ketika ditanya mengenai kekalahan kepada Hong Kong yang menyaksikan kapten Safiq Rahim dilayangkan kad merah pada minit ke-40, Shahrom berkata, ia tidak boleh dijadikan alasan.

“Tapi kadang-kadang main 10 pemain ada juga kelebihan, positif dan negatif. Negatif kami kekurangan pemain, positif kalau kami dapat buat serangan balas pantas tapi Hong Kong dapat mengawal bahagian pertahanan dengan baik serta permainan tersusun yang membuatkan kami agak sukar,” jelas pemain Perak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 10:22 PM