VINGADA (tiga dari kanan) memberi arahan kepada anak buahnya semasa sesi latihan skuad kebangsaan. -Foto fail
VINGADA (tiga dari kanan) memberi arahan kepada anak buahnya semasa sesi latihan skuad kebangsaan. -Foto fail
Aziman Rosdi


WALAUPUN banyak pihak menganggap peluang skuad Harimau Malaya untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019 sudah tertutup namun jurulatih Nelo Vingada masih belum mahu mengibarkan bendera putih.

Biarpun sedar peluang anak buahnya sukar selepas menduduki tangga tercorot daripada empat pasukan dengan mengutip satu mata selepas tiga perlawanan dalam kelayakan Kumpulan B, beliau belum putus harapan dan mahu pasukannya terus memberi saingan dalam baki tiga perlawanan.

“Kedudukan sekarang amat sukar tapi kami harus berjuang kerana saya percaya pemain berhak mendapat keputusan lebih baik.

“Dengan kombinasi pemain bawah 22 tahun dan pemain senior, saya percaya kami boleh mencapai sesuatu pada masa akan datang. Pasukan ini berdepan pelbagai masalah kecederaan, penggantungan pemain jadi saya berharap pada perlawanan seterusnya November ini, selepas Liga Malaysia berakhir, saya akan dapat pilihan pemain lebih baik,” kata Vingada.

Jurulatih dari Portugal itu dikritik hebat oleh bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh dan segelintir peminat yang mahu beliau meletakkan jawatan susulan kekalahan 0-2 di tangan Hong Kong minggu lalu.

Ia kekalahan keempat daripada lima perlawanan sejak Vingada mengambil alih tugas Datuk Ong Kim Swee, Mac lalu.

Bagaimanapun Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim masih mahu memberi sokongan kepada Vingada biarpun mengakui peluang Malaysia untuk layak sudah tertutup.

Hidup mati Harimau Malaya untuk mara ke pusingan seterusnya bergantung kepada keputusan dua perlawanan dengan Korea Utara dan satu perlawanan menentang Lubnan.

Mengulas mengenai aksi pertama dengan Korea Utara di Pyongyang yang sudah tertangguh tiga kali sejak Mac lalu, Vingada berkata, mereka bersedia untuk menerima apa saja keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“AFC perlu buat keputusan dan kami akan menerima apa saja keputusan itu nanti. Hingga kini kami belum tahu bila dan di mana kami akan bermain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 5:43 PM