INSA
INSA
Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Pemain skuad Harimau Malaya, Kiko Insa tetap percaya mereka mampu melakar kemenangan ke atas Hong Kong dalam aksi kelayakan Kumpulan A Piala Asia 2019 di Stadium Hang Jebat, Melaka, Selasa ini meskipun keputusan dua aksi persahabatan sebelum ini mengecewakan.

Pasukan kendalian jurulatih dari Portugal, Nelo Vingada itu tewas dalam dua perlawanan pemanas badan kepada Syria (1-2) dan Myanmar (0-1) dengan Insa membuat penampilan pertama di pentas antarabangsa dalam kariernya.

Menurut Kiko, kekalahan dalam dua perlawanan itu tidak mencerminkan kekuatan sebenar Malaysia yang sebenarnya hanya tidak bernasib meskipun menguasai permainan.

“Kami tidak mendapat keputusan baik walaupun kami bermain baik dalam dua perlawanan itu. Tapi malangnya perlawanan itu tidak disiarkan secara langsung untuk penyokong menyaksikan permainan kami. Kami berhak mendapat keputusan lebih baik dalam perlawanan berkenaan.

“Kami tetap yakin berdepan Hong Kong kerana kami akan bermain di laman sendiri, kami mempunyai pemain yang bagus, latihan lebih rapi dan semua tahu apa yang dimahukan oleh jurulatih,” katanya kepada Arena Metro.

Kiko, pemain kelahiran Sepanyol yang mendapat taraf kerakyatan negara ini kerana neneknya berasal dari Kuala Lumpur dipanggil oleh Vingada selepas melihat aksinya bersama Pahang musim ini.

Walaupun lebih selesa bermain sebagai pertahanan tengah namun bekas pemain kelab divisyen tiga Sepanyol CD Alcoyano itu tidak kisah diberikan peranan di bahagian tengah.

“Ini pengalaman pertama saya bermain untuk skuad kebangsaan, sudah pasti saya gembira. Selepas dua minggu berlatih, persefahaman kami semakin baik.

“Kami menganggap perlawanan dengan Hong Kong ini seperti final. Kami mahukan kemenangan, tidak kira dalam apa cara sekalipun,” kata Kiko.

Malaysia kini menduduki tangga tercorot kumpulan selepas tewas kepada pendahulu Lubnan 1-2 di Larkin 13 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 2:52 AM