SHAHROM Kalam. FOTO Osman Adnan
SHAHROM Kalam. FOTO Osman Adnan
Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Pemain pertahanan Harimau Malaya Shahrom Kalam percaya semua pemain bersedia untuk berdepan tekanan di dalam dan luar padang apabila berkunjung ke Pyongyang bagi aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara pada 5 Oktober ini.

Meskipun perlawanan Kumpulan B ini ditunda sejak Mac lalu dan sudah mendapat jaminan keselamatan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan pihak kerajaan Korea Utara, namun situasi tegang republik itu dengan negara luar masih tercetus berhubung isu ujian nuklear.

Bagaimanapun Shahrom,32, yakin semua pemain memandang isu berkenaan dengan positif kerana kemenangan dalam perlawanan ketiga itu lebih penting untuk menghidupkan peluang memburu tiket ke pusingan akhir di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Saya percaya pemain sedar dengan situasi yang berlaku di sana (Pyongyang) tapi kami tidak perlu fikir mengenai perkara itu. Jika sudah mendapat lampu hijau untuk ke sana, kita pergi.

“Kami hanya perlu fokus untuk mendapatkan keputusan positif bagi memperbaiki kedudukan sekarang. Saya yakin bukan mustahil untuk membawa pulang mata dari sana,” katanya kepada Arena Metro.

Selepas tewas 1-2 kepada Lubnan dan seri 1-1 menentang Hong Kong, skuad negara kendalian Nelo Vingada dalam kedudukan terdesak untuk mencari kemenangan apabila kini menduduki tangga tercorot Kumpulan B.

Tugas sukar menanti Shahrom serta seorang lagi pertahanan berpengalaman Khairul Helmi Johari selepas Aidil Zafuan Abd Radzak digantung empat perlawanan atas kesalahan mengasari pengadil ketika berdepan Hong Kong serta Rizal Ghazali yang turut menerima kad merah dalam perlawanan itu.

“Saya percaya jurulatih Nelo Vingada mempunyai perancangan tersendiri dengan pemilihan kali ini. Memang kita ketiadaan Aidil dan juga Rizal, tapi kita ada pemain muda seperti Adam (Nor Azlin) dan Matthew (Davies) yang berpengalaman,” kata pemain pertahanan Perak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 3:34 AM