FATIN antara 12 atlet yang dihantar bersaing dalam saingan di Mexico. FOTO/YAZIT RAZALI
FATIN antara 12 atlet yang dihantar bersaing dalam saingan di Mexico. FOTO/YAZIT RAZALI
Azlan Muhammad Zain


FATIN Nurfatehah Mat Salleh memasang impian untuk muncul pemanah pertama negara meraih pingat pada Kejohanan Dunia bermula Ahad ini.

Pemanah compound itu antara 12 atlet yang dihantar bersaing dalam saingan di Mexico City diketuai ketua jurulatih negara Lee Jae Hyung.

“Impian sentiasa ada untuk raih pingat, saya akan cuba namun tidak boleh terlalu mengharap kerana saingan memang sengit.

“Kejohanan ini umpama Sukan Olimpik dengan kebanyakan negara menyertainya dan setiap pemanah melakukan persiapan rapi. Jika kami muncul antara 10 pemanah terbaik ia sudah memadai sebenarnya namun jika ada rezeki layak ke pusingan pingat adalah lebih bagus,” jelas pemenang emas Sukan SEA 2017 itu.

Penampilan di Mexico City kali kedua bagi pemanah kelahiran Sabah itu selepas edisi 2013 yang menyaksikannya terkandas di pusingan ketiga.

Fatin dijangka bergandingan dengan Saritha Cham Nong dan Sazatul Nadhirah Zakaria dalam acara berpasukan manakala trio lelaki menampilkan Juwaidi Mazuki, Zulfadli Ruslan dan Lee Kin Lip.

Saingan recurve lelaki menampilkan Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Akmal Nor Hasrin manakala Nur Aliya Ghapar, Nur Afisa Halil dan Loke Shin Hui melengkapkan skuad wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 4:54 PM