FATIN NURFATEHAH. -Foto fail
FATIN NURFATEHAH. -Foto fail
Azlan Muhammad Zain


PEMANAH negara Fatin Nurfatehah Mat Salleh tidak berdepan masalah menyesuaikan diri dengan persekitaran termasuk keadaan angin dalam misinya mempertahankan emas acara individu compound di padang sintetik Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, esok.

Menurut pemanah berusia 26 tahun itu, terdapat perubahan cuaca beberapa hari lalu dengan keadaan hujan namun dia merasakan sudah mampu menyesuaikan diri.

“Sebelum ini keadaan amat panas namun berubah beberapa hari lalu, saya fikir tiada masalah dengan perubahan cuaca ini.

“Saya sudah boleh menyesuaikan diri dengan keadaan angin itu. Tempoh beberapa hari lalu saya manfaatkan untuk memberi fokus kepada sasaran tanpa memikirkan perkara lain,” katanya selepas sesi latihan rasmi atlet compound, hari ini.

Pemanah dari Sabah itu berkata, dia tidak terlalu memikirkan mengenai keputusan perlawanan kerana mahu memberikan persembahan yang terbaik terlebih dulu.

“Keputusan akan menyusul apabila kita sudah memberikan yang terbaik. Saya harap ia akan memadai untuk menghadiahkan emas untuk Malaysia,” kata pemenang tiga emas Sukan SEA Singapura itu.

Fatin Nurfatehah antara sandaran utama negara menghadiahkan emas, esok, selain acara individu lelaki dan chinlone.

Selain Fatin Nurfatehah, tiga lagi pemanah wanita negara yang turut bersaing ialah Nurul Syazhera Mohd Asmi, Saritha Cham Nong dan Norizah Ishak.

Aksi kelayakan akan bermula pada pagi esok dengan dua peserta terbaik setiap negara akan mara ke pusingan kalah mati yang berlangsung pada sebelah petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 2:11 PM