WAN Zack Haikal (tiga dari kanan) menyumbang dua jaringan menerusi sepakan percuma menewaskan Kedah di Stadium Darul Aman kelmarin . FOTO Amran Hamid
WAN Zack Haikal (tiga dari kanan) menyumbang dua jaringan menerusi sepakan percuma menewaskan Kedah di Stadium Darul Aman kelmarin . FOTO Amran Hamid
Aizat Sharif


Alor Setar: Dua jaringan menerusi sepakan percuma pemain tengah FELDA United, Wan Zack Haikal Wan Noor yang membawa kemenangan 3-1 pasukannya ke atas Kedah di Stadium Darul Aman kelmarin dilihat sebagai tonik kebangkitan pasukan itu sebelum menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Pasukan ‘The Fighters’ yang tewas 1-3 kepada PKNP FC pada suku akhir pertama di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada 15 September lalu kini berdepan tugas sukar dalam mencari kemenangan besar bagi memastikan langkah mereka untuk ke peringkat separuh akhir tidak tersekat.

Wan Zack Haikal yang turut menjaringkan gol terpantas dalam perlawanan itu juga berkata, kemenangan ke atas Kedah adalah suntikan semangat bagi pasukannya untuk berdepan PKNP FC selepas dimalukan pasukan berkenaan pada saingan suku akhir pertama lalu.

“Saya bersyukur kerana latihan saya sebelum ini termasuk dengan melakukan sepakan percuma akhirnya membuahkan hasil. Kemenangan ini adalah sebagai motivasi kami untuk menentang PKNP FC,” katanya.

Tambahnya, dia semakin selesa dengan posisi baru diberikan jurulatih, B Sathianathan dan sentiasa bekerja keras bagi memastikan kemenangan dapat dicipta pada setiap perlawanan.

“Sebelum ini, saya banyak ditimpa kecederaan menyebabkan saya terlepas perlawanan namun saya tetap bekerja keras bagi memastikan pasukan ini dapat pergi lebih jauh lagi,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Kedah, Muhammad Nidzam Adzha Yusoff berkata, ketiadaan beberapa tonggak utama menjadi punca kekalahan pasukannya pada perlawanan itu.

“Kita kehilangan Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Khairul Helmi Johari dan Syazwan Zainol kerana kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 4:18 AM