PEMAIN FELDA United, Dino Djublic (kiri) dikawal ketat pemain PKNP FC, Ritus Krjauklis  di Stadium Tun Abdul Razak, kelmarin.
PEMAIN FELDA United, Dino Djublic (kiri) dikawal ketat pemain PKNP FC, Ritus Krjauklis di Stadium Tun Abdul Razak, kelmarin.
Mohamad Azim Fitri Abdul Aziz

Maran: “Taktikal tidak salah cuma pemain tidak beraksi seperti yang sepatutnya. Akibatnya, kami tewas,” kata jurulatih FELDA United, B Sathianathan selepas dikecewakan 1-3 oleh PKNP FC dalam suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, kelmarin.

Beliau berkata, kawalan bola yang tidak kemas, hantaran dan pertarungan satu lawan satu yang tidak menjadi antara pemainnya dan pasukan pelawat muncul penyebab skuad kendaliannya tidak dapat bermain seperti dirancang.

“Saya ucap tahniah kepada PKNP, mereka bermain dengan baik. Kawalan bola, hantaran dan penyudah di hadapan gol mereka sangat berkesan. Separuh masa pertama mereka bermain dengan agresif hingga pemain saya tidak dapat menyaingi taktikal yang digunakan.

“Pemain tak dapat menyaingi keupayaan ketika situasi satu lawan satu, mental juga tidak kuat menyebabkan kami ketinggalan dua gol pada babak pertama,” katanya.

Beliau berkata, jika prestasi sama terus dipamerkan pada aksi timbal balik di Ipoh nanti, skuad The Fighters sudah boleh melupakan aksi separuh akhir.

Katanya, tiada sebab FELDA United perlu bermain dalam keadaan tertekan di laman sendiri kerana mereka sudah biasa berlatih menggunakan padang sintetik berbanding skuad kendalian Abu Bakar Fadzim itu.

“Apa-apa pun saya kena bertanggung jawab dengan kekalahan ini kerana tidak dapat menyediakan pasukan dalam keadaan baik. Saya kena lihat semula apa yang perlu diperbaiki untuk kami hadapi aksi kedua nanti,” katanya.

Mengulas mengenai keseluruhan pemain yang diturunkan pada perlawanan itu, Sathianathan berkata, hanya Thiago Augusto yang bermain dengan baik berbanding pemain lain.

Sementara itu, Abu Bakar memuji aksi anak buahnya pada perlawanan itu kerana berjaya meraih kemenangan di tempat lawan sekali gus membawa bekalan selesa pada aksi di Ipoh minggu depan.

“Alhamdulillah kami memperoleh kemenangan positif. Bukan mudah hendak mencatat kemenangan di laman lawan lebih-lebih lagi berhadapan dengan FELDA United. Pemain bermain dengan tenang dan berjaya mengawal asakan pasukan lawan,” katanya.

Beliau melihat peluang pasukannya cerah untuk ke separuh akhir sekiranya mampu mengulangi aksi cemerlang seperti di Jengka pada aksi timbal balik nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 2:49 AM