WARK (kiri) terlepas saingan Piala Malaysia dan Liga Super musim ini kerana kecederaan lutut. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
WARK (kiri) terlepas saingan Piala Malaysia dan Liga Super musim ini kerana kecederaan lutut. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Zulfaizan Mansor


PERSIAPAN FELDA United FC menjelang separuh akhir pertama Piala Malaysia berdepan Kedah di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Ahad ini sedikit terganggu susulan kecederaan tonggak tengah mereka, Stuart Wark.

Jurulatih FELDA United, B Sathianathan menjelaskan pemain itu akan terlepas saingan Piala Malaysia dan Liga Super musim ini kerana kecederaan lutut.

Sathianathan mungkin terpaksa menggunakan khidmat pemain muda Danial Amier Norhisham sebagai pengganti Wark untuk aksi berdepan Kedah nanti.

“Memang ketiadaan Stuart mengganggu perancangan awal saya kerana dia juga antara tonggak penting pasukan.

“Kecederaan lutut yang dialami Stuart serius hingga memaksanya menjalani pembedahan. Jadi, saya perlu mencari penggantinya dan mungkin akan menggunakan Danial,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

FELDA United mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menyingkirkan PKNP FC 5-4 secara agregat pada suku akhir.

Selain Piala Malaysia, skuad The Fighters juga masih bersaing merebut tempat ketiga dalam Liga Super dengan hanya berbaki satu perlawanan.

Selain itu, Sathianathan turut mengharapkan seorang lagi tonggak utama, Wan Zack Haikal Wan Nor yang kini bersama skuad Harimau Malaya berada pada tahap terbaik apabila kembali ke pangkuan The Fighters nanti.

“Dalam bola sepak, kami memang tidak boleh jangka bila pemain akan mengalami kecederaan, cuma saya harap Wan Zack akan kembali tanpa sebarang masalah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 6:25 PM