ADAM (kanan) janji kebangkitan di Darul Aman.
ADAM (kanan) janji kebangkitan di Darul Aman.
HM Digital

Shah Alam: Pemain pertahanan Selangor, Adam Nor Azlin percaya mereka masih berpeluang untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia namun perlu mempamerkan aksi luar biasa bagi menundukkan Kedah, malam esok.

Ia bukan tugas mudah untuk skuad Red Giants bangkit di Stadium Darul Aman pada suku akhir kedua selepas tewas 2-3 di Selayang pada pertemuan pertama, Sabtu lalu.

Itu diakui sendiri oleh Adam namun tetap menganggap bukan mustahil untuk Selangor melakukan kejutan.

“Peluang masih ada walaupun kita akui, bermain di stadium keramat Kedah bukan sesuatu yang mudah. Apa yang penting semua pemain kena fokus dan mengikut arahan jurulatih.

“Kami tidak boleh melakukan kesilapan lagi terutama di bahagian pertahanan. Saya harap kami semua dapat berikan aksi terbaik dan luar biasa untuk menang,” katanya kepada Arena Metro.

Selangor yang dibimbing P Maniam hanya mencatat keputusan seri 1-1 menentang Kedah di tempat lawan, Julai lalu.

Dengan prestasi buruk, kalah tiga perlawanan berturut-turut dalam aksi Liga Super dan Piala Malaysia, situasi dilihat tidak memihak kepada Red Giants ketika ini.

Adam yang menjadi tonggak skuad bawah 22 tahun negara (B-22) meraih perak Sukan SEA Kuala Lumpur berkata, mereka tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada penyerang sensasi Kedah, Ken Ilso.

“Kedah mempunyai ramai pemain yang bagus di setiap posisi, jadi kami semua harus berhati-hati dengan semua pemain mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 2:03 AM