ADAM (dua dari kiri) akui terima tawaran daripada beberapa pasukan Liga Super. -Foto fail
ADAM (dua dari kiri) akui terima tawaran daripada beberapa pasukan Liga Super. -Foto fail
Firdaus Hashim di Hong Kong


TONGGAK pertahanan Selangor, Adam Nor Azlin masih belum memutuskan mengenai masa depannya biarpun mengakui ada menerima tawaran lumayan beberapa pasukan Liga Super.

Adam, 21, yang kini bersama skuad Harimau Malaya bagi kempen Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong malam esok, menjelaskan dia enggan membuat keputusan terburu-buru sekalipun kontraknya bersama Red Giants berakhir hujung bulan ini.

Menurutnya, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) ada menawarkan kontrak lanjutan sambil menghargai kesungguhan majikannya itu untuk terus mengekalkan khidmatnya.

“Saya tak boleh nak cakap apa lagi. Saya perlu fokus dengan pasukan Selangor sebab kami masih ada baki satu perlawanan.

“Jadi saya perlu menghormati kontrak semasa hinggalah ia berakhir hujung musim ini,” katanya ketika ditemui di hotel penginapan pasukan di sini, hari ini.

Ditanya mengenai spekulasi yang mengaitkannya berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (Johor DT), dia menyerahkan segala-galanya di tangan pasukan baru untuk membuat pengesahan itu.

“Saya tak boleh nak katakan tepat atau tidak. Sebagai pemain kalau dapat tawaran majikan dia takkan memberi sebarang ulasan sampai ia diwar-warkan pihak tertentu.

“Macam saya katakan tadi, saya perlu menghormati Selangor dan ketika ini saya masih lagi milik Selangor,” katanya.

Saham pemain kelahiran Klang itu semakin memuncak selepas membantu skuad bawah 22 tahun negara (B-22) memenangi pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Malah, dia juga cemerlang ketika memastikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee layak secara merit beraksi pada pusingan akhir Kejohanan B-23 Asia di China, Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 4:02 PM