RAZMAN Roslan. FOTO Osman Adnan
RAZMAN Roslan. FOTO Osman Adnan
HM Digital

Kuala Lumpur: Kapten Selangor Razman Roslan menggesa rakan sepasukan fokus dalam misi memburu kemenangan ke atas PKNS FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini bagi memastikan mereka terus bersaing dalam perebutan tempat kedua Liga Super.

Selepas Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dimahkotakan kejuaraan lebih awal ketika saingan liga berbaki tiga perlawanan, tumpuan kini terarah kepada posisi naib juara liga yang membabitkan Kedah, Pahang, FELDA United, Selangor dan Perak.

Bagi Razman, mereka masih ada peluang untuk menamatkan kempen ini di tangga kedua andai tidak keciciran mata biarpun ketika masa sama turut bersaing pada suku akhir Piala Malaysia.

“Peluang untuk kami menamatkan saingan Liga Super musim ini di tangga kedua atau sekurang-kurangnya di tempat ketiga masih ada tapi kami perlu mendapatkan keputusan baik setiap perlawanan.

“Memang kami juga kena fikir mengenai perlawanan suku akhir Piala Malaysia dengan Kedah minggu ini tapi kami tetap akan bermain habis-habisan menentang PKNS esok (hari ini). Kami akan fokus perlawanan demi perlawanan,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Skuad Red Giants kendalian P Maniam kini menduduki tangga kelima liga, berkongsi 30 mata dengan FELDA United dan Perak manakala Kedah kedua (34) dan Pahang ketiga (33).

Selangor tewas 3-5 kepada PKNS dalam pertemuan pertama Liga Super di Shah Alam, Februari lalu dan Razman amat mengharapkan kemenangan kali ini bukan hanya untuk menebus kekecewaan itu, malah bagi menyuntik semangat selepas tewas 2-3 kepada Kedah pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Selayang minggu lalu.

“Banyak perubahan dalam pasukan sekarang, sebelum ini kami kalah kepada PKNS tanpa pemain seperti Andik (Vermansyah), Amri Yahyah dan Rufino (Segovia). Sudah pasti perlawanan esok (hari ini) berbeza. Kami mahukan kemenangan bukan saja untuk meneruskan saingan Liga Super tapi untuk memberi suntikan moral sebelum bertemu Kedah Sabtu ini (Piala Malaysia),” kata pemain pertahanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 3:45 AM