KANE (kiri) jadi sandaran Southgate.
KANE (kiri) jadi sandaran Southgate.

London: Pengurus England, Gareth Southgate berharap Harry Kane terus menyumbang gol ketika menentang Slovakia awal pagi esok ketika pasukannya semakin hampir layak ke Piala Dunia tahun depan.

Kane menjaringkan dua gol bagi membolehkan England menang 4-0 ke atas Malta awal pagi kelmarin, sekali gus mengumpul lima gol dalam tiga perlawanan antarabangsa terakhir.

Sekiranya England menang ke atas Slovakia mereka hanya memerlukan dua mata daripada dua perlawanan terakhir untuk menempah tiket kelayakan automatik dan Southgate berkata, beliau mempunyai banyak pilihan selaku penjaring.

“Memang seronok melihat dari bangku simpanan dan berpeluang menurunkan Marcus (Rashford), Danny (Welbeck), Jamie Vardy,” kata pengurus England yang pasukannya mendahului Slovakia dengan dua mata.

“Kami memiliki (Jermain) Defoe dan (Daniel) Sturridge, jadi kami mempunyai pemain berkualiti dan pemain yang mampu memberi impak.

“Barisan pemain simpanan dalam perlawanan moden amat penting kerana 15 hingga 20 minit terakhir amat penting.

“Justeru Harry sentiasa menjadi ancaman dalam perlawanan dan akan menjaringkan gol untuk kami. Dia sudah membuktikannya dalam beberapa perlawanan terakhir, lima gol dalam tiga perlawanan.

“Satu kelebihan buat kami memilikinya dalam pasukan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 11:52 AM