Reuters

MANCHESTER, England: Usaha Leicester City mendapatkan khidmat pemain tengah Portugal, Adrien Silva (gambar) berdepan masalah selepas perpindahannya dari Sporting Lisbon pada hari terakhir jendela perpindahan gagal dimuktamadkan tepat pada masanya.

Pemain berusia 28 tahun itu dibawa masuk Leicester sebelum tarikh akhir jendela perpindahan minggu lalu bagi menggantikan pemain tengah Danny Drinkwater yang dijual kepada Chelsea.

Namun laporan media menyebut dokumen yang diserahkan kepada badan induk dunia FIFA, yang menguruskan perpindahan antarabangsa, hanya tiba 14 saat selepas pendaftaran ditutup.

Ditanya sama ada FIFA menolak dokumen dihantar Leicester dan enggan mengesahkan perjanjian itu, seorang jurucakap FIFA berkata: “Kami boleh mengesahkan FIFA sudah dihubungi Persatuan Bolasepak (FA) England berhubung pendaftaran pemain Adrien Silva dan kelab FC Leicester City.

“FIFA sudah menjawab merujuk kepada peraturan sepatutnya,” jelas jurucakap itu.

FA bagaimanapun tidak memberikan jawapan ketika diminta mengulas mengenai situasi itu.

Seorang jurucakap Leicester City memberitahu BBC: “Kami berurusan dengan Adrien dan Sporting untuk mengatasi beberapa isu berhubung pendaftaran pemain itu dan mencari jalan penyelesaian.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 9:21 AM