ROMA (kiri) menang tipis ke atas Atalanta minggu lalu.
ROMA (kiri) menang tipis ke atas Atalanta minggu lalu.
AFP

MILAN: Francesco Totti cuba menafikan potensi kekalahan pertama liga musim ini ketika AS Roma menerima kunjungan Inter Milan kendalian bekas jurulatih Luciano Spalletti dalam perlawanan besar pertama Serie A musim ini, malam esok.

“Apapun keputusannya, ia tidak mungkin mencetus drama besar,” kata Totti dari Monaco yang mana legenda Roma yang bersara baru-baru ini menghadiri undian Liga Juara-Juara.

“Ia dua pasukan yang mahu memenangi liga bertemu pada awal musim. Tapi masih terlalu awal untuk bercakap mengenai cabaran kejuaraan.”

Mengambil kira permulaan memberangsangkan Inter minggu lalu dalam aksi pertama kendalian Spalletti, kemenangan bergaya 3-0 ke atas Fiorentina yang menyaksikan kapten Mauro Icardi menyumbat dua gol, peminat mungkin bimbang.

Inter dan musuh setempat AC Milan mengukuhkan pasukan mereka dengan berbelanja besar dan berazam menyertai Napoli dan Roma mencabar juara enam kali berturut-turut Juventus.

Roma berakhir hanya empat mata di belakang Juve musim lalu, namun masih tercari-cari rentak awal musim sesudah bergantung kepada gol sepakan percuma bekas pertahanan Manchester City, Aleksandar Kolarov ketika menang 1-0 di Atalanta minggu lalu.

Kolarov, yang menyertai kelab itu pada musim panas ini, akan sekali lagi berdepan bekas musuh Liga Perdana, Chelsea selepas Roma diundi bersama kelab gergasi Inggeris itu, Atletico Madrid dan Qarabag dalam undian Liga Juara-Juara.

“Kami sedar kami tidak bermain baik (di Atalanta), namun kami pulang dengan tiga mata dan ketika ini itulah yang paling penting buat kami,” katanya.

“Kami mahu berdepan Inter bersiap sedia sebaik mungkin. Kami sedar mereka memiliki skuad kuat dan ia bukan hanya seorang atau dua pemain, kami perlu memberikan tumpuan maksimum kepada semua pemain.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 3:19 PM