ICARDI (kanan) jaringkan gol kedua Inter. -Foto EPA
ICARDI (kanan) jaringkan gol kedua Inter. -Foto EPA
AFP

MILAN: Kapten Mauro Icardi menyumbat dua gol pada babak kedua ketika Inter Milan membenam AS Roma 3-1 di Stadio Olimpico awal pagi tadi untuk melaungkan amaran awal mengenai kesungguhan mereka terhadap pencabar kejuaraan Serie A.

Gol awal Edin Dzeko, penjaring gol terbanyak Serie A musim lalu dengan 29 gol, menggamatkan penonton di Olimpico yang melompat kegembiraan dan berasakan Roma boleh memulakan kempen di laman sendiri dengan kemenangan.

Namun tuan rumah, beraksi di bawah pengawasan pengarah baru kelab Francesco Totti, tergamam dengan kebangkitan pelawat pada babak kedua.

Inter mengikut jejak Juventus - yang bangkit menang 4-2 di Genoa berikutan hatrik Paulo Dybala - melakar kemenangan kedua berturut-turut pada awal musim sekali gus menggembirakan jurulatih baru mereka Luciano Spalletti.

Spalletti mengakhiri kempen keduanya mengendalikan Roma hujung musim lalu apabila kemelut mengenai persaraan bintang legenda kelab itu Totti lebih disebabkan pertelagahan dengannya.

Beliau berpindah ke Inter dengan harapan memulakan karier baru bersama pasukan yang tidak menyerlah itu, yang berakhir di tangga ketujuh dan gagal layak ke pertandingan Eropah.

Dalam hanya dua perlawanan, Spalletti sudah mendapat kepercayaan Inter. Kemenangan awal pagi tadi, seminggu selepas menang 3-0 di San Siro ke atas Fiorentina, adalah kemenangan pertama Inter di Olimpico sejak 2008.

“Roma bermain baik, mereka tidak bernasib baik beberapa kali percubaan terkena palang tapi kadang-kadang tuah itu berubah kepada pasukan lain yang berani melakukan gerakan.

“Kami juga melakukan kesilapan tapi kami berjaya menanganinya, kami tidak putus asa untuk menyerang dan akhirnya usaha kami berhasil,” kata Spalletti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 9:34 AM