PEMAIN Inter (jersi biru) meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol. FOTO/AFP
PEMAIN Inter (jersi biru) meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol. FOTO/AFP
Reuters

IVAN Perisic menanduk masuk gol penyamaan pada separuh masa kedua untuk keputusan seri 1-1 buat Inter Milan dalam aksi Serie A menentang AS Roma awal pagi tadi dalam perlawanan penting merebut tiket ke Liga Juara-Juara.

Stephan El Shaarawy mengejutkan San Siro dengan jaringan buat Roma pada minit ke-14 apabila memperdaya tiga pertahanan dan melakukan sepakan lencong ke gawang lawan.

Jaringan itu hadir beberapa ketika selepas tandukan penyerang Inter Lautaro Martinez berjaya ditepis penjaga gol Roma Antonio Mirante.

Inter, yang serangan mereka berjaya dipatahkan lawan bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-61 apabila Perisic menyambut hantaran lencong Danilo D'Ambrosio dengan tandukan melepasi Antonio Mirante.

Roma hampir meraih gol kemenangan pada saat akhir namun Samir Handanovic berjaya menyelamatkan percubaan Aleksandar Kolarov selepas pemain Serbia itu melepasi pertahanan Inter.

Inter kekal di tangga ketiga dengan 61 mata manakala Roma kendalian Claudio Ranieri di tangga kelima dengan 55 mata, satu mata di belakang AC Milan yang seri 1-1 dengan Parma.

Empat pasukan teratas akan mara ke Liga Juara-Juara musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 1:49 PM