SAFUAN (dua dari kiri) bersama  Izzat (dua dari kanan), Zulhilmie (kanan) dan Daeng Dhadyry menunjukan pingat perak dimenangi.
SAFUAN (dua dari kiri) bersama Izzat (dua dari kanan), Zulhilmie (kanan) dan Daeng Dhadyry menunjukan pingat perak dimenangi.
Jumiati Rosly


NASIB tidak menyebelahi kuartet boling padang lelaki negara apabila terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam perlawanan sengit menentang Filipina yang berkesudahan 14-16.

Kapten pasukan negara, Safuan Said berkata, secara jujurnya dia kecewa dengan keputusan hari ini kerana dia meletakkan sasaran untuk memenangi pingat emas apa lagi selepas boling padang lama tidak dipertandingkan di Sukan SEA dengan kali terakhir ia dipertandingkan 10 tahun lalu di Korat.

“Jika diikutkan pengalaman lawan dan kami lebih kurang. Yang membezakan tadi adalah lebih kepada nasib,” katanya selepas perlawanan penentuan pingat emas di Pusat Boling Padang Nasional di Bukit Kiara hari ini.

Menurutnya, persembahan Filipina juga tidak jauh berbeza dengan pemain negara namun pemain lawan memperoleh mata di saat genting hinggalah end ke-17 apabila lawan mendahului 16-11.

Pasukan negara yang turut diwakili Daeng Dhadyry Dahasry, Izzat Shameer Dzulkeple dan Zulhilmie Redzuan cuba memintas menyamai Filipina pada end terakhir namun hanya dapat menambah tiga lagi mata.

“Kalau ikutkan memang ada jalan nak dapatkan lima mata tapi agak mustahil untuk lakukannya. Namun begitu kami dapat tambah tiga,” katanya.

Perlawanan penentuan gangsa pula menyaksikan Thailand mengatasi Brunei 17-14.

Pada jam 3 petang ini, pasukan negara diwakili Nor Hashimah Ismail, Nur Ain Nabilah Tarmizi, Nur Fidrah Noh dan Nurul Alyani Jamil akan turun dalam perlawanan penentuan pingat emas menentang Filipina dalam acara fours wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 2:00 PM